KUALA TERENGGANU- Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) dengan kerjasama TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) mewujudkan ladang solar terapung di Tasik Kenyir yang dijangka menjana sehingga 2,000 megawatt (MW) tenaga elektrik.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata dalam tempoh enam bulan akan datang, sebanyak 400 MW tenaga elektrik akan dihasilkan dengan kos RM2 bilion, dan semua itu bermatlamat untuk meningkatkan pendapatan baharu negeri.
“Usaha ini selari dengan matlamat kerajaan negeri bagi menjana 1,000 MW tenaga daripada solar dalam tempoh lima tahun akan datang yang akan meningkatkan kapasiti penjanaan melebihi 30 peratus menjelang 2025.
“Terengganu Inc juga menjayakan agenda nasional dengan menggalakkan semua subsidiari menjana tenaga solar menerusi pemasangan panel di premis perniagaan mereka,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena Program Latihan Korporat Lembaga Pengarah Syarikat Kumpulan Terengganu Inc, di Kuala Terengganu, malam tadi.