Sumber : IPD Rompin

KUANTAN – Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya bertembung sebuah pacuan empat roda di kilometer 100 Jalan Kuantan-Segamat tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Nor Azman Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 12.30 tengah malam.

“Kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dipandu dari arah Merlimau, Melaka menuju ke arah Kuala Terengganu, Terengganu secara tiba-tiba memasuki laluan arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan.

Kejadian itu menyebabkan Ford Ranger bertembung dengan kereta Proton Preve dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun dengan dua orang penumpang.

Akibat kemalangan tersebut, pemandu Proton Preve tersebut meninggal dunia di tempat kejadian dan penumpang kereta itu mengalami cedera parah di bahagian perut dan dirawat di hospital.

“Pemandu pacuan empat roda hanya mengalami kecederaan ringan, namun seorang penumpang bersamanya masih belum sedarkan diri,” tambah Nor Azman.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette