KLUANG – Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40, mengaku teruja pada hari pertama berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Katanya, ini julung kali beliau dapat berdamping dengan masyarakat sebagai calon pilihan raya dan mendapat maklum balas positif.
“Sebelum ini saya turun (ke pasar malam) sebagai orang biasa dan Ahli Majils Perbandaran Kluang (MPK) Zon Sri Impian, kali ini sebagai calon wakil rakyat.
“(Pertemuan dengan orang ramai) sudah mesra dan saling kenal mengenali, lebih kemesraan dan kekeluargaan. Berkat doa semua (kempen) berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan walkabout dan berkempen untuk calon BN di Pasar Malam Bukit Ayam di sini hari ini.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang itu diumumkan sebagai calon BN menentang calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61, pada hari penamaan calon PRK DUN Mahkota hari ini.
Bercerita lanjut, Syed Hussien berkata, beliau memilih untuk meninjau dan berkempen di pasar malam kerana merasa dekat dengan peniaga.
Jelasnya, ini kerana beliau pernah berniaga menjual kuih di pasar malam apatah lagi datang daripada keluarga dalam golongan rakyat bawahan.
Secara tidak langsung katanya, pertemuan itu akan dapat mengetahui masalah peniaga pasar malam.
“Saya faham perasan sebagai peniaga pasar malam, bukan ada dijanjikan pelanggan berterusan. Sebab itu saya dekati golongan ini, saya datang daripada golongan mereka,” katanya.
Katanya yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor, setiap pasar malam di DUN Mahkota mempunyai masalah tersendiri dan akan melihatnya dari masa ke semasa.- MalaysiaGazette