KLUANG – Pakatan Harapan (PH) yakin pengundi tidak akan terpengaruh dengan sentimen agama, bangsa dan raja-raja (3R) sekiranya pembangkang memainkan isu tersebut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu tersebut tidak mampu menarik sokongan pengundi dan akan berlaku penolakan seperti PRK DUN Nenggiri.
“Saya tengok, semakin lama, rakyat menilai bahawa isu itu tidak selamanya boleh dimainkan walaupun PN (Perikatan Nasional) masih mengekalkan (isu tersebut semasa berkempen). Tapi ia terhenti di (PRK) Nenggiri walaupun kawasan itu 98 peratus adalah pengundi Melayu dan Islam.
“Jadi jika pendekatan itu telah ditolak, saya yakin rakyat Johor akan mengambil pendirian sama.
“Sekiranya masih berlaku, saya merayu kepada pengundi untuk membuat penilaian sejernih-jernihnya kerana pendekatan itu tidak membawa kebaikan pun kepada masyarakat kita yang pelbagai kaum dan agama,” ujarnya.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengulas mengenai cabaran sekiranya berdepan sentimen 3R sepanjang kempen PRK DUN Mahkota nanti yang bermula hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon PRK DUN Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini hari ini.
PRK kerusi DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada BN menentang calon PN.
BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, manakala PN diwakili Mohamad Haizan Jaafar, 61.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, DUN Mahkota perlu kekal di bawah Kerajaan Perpaduan dalam meneruskan momentum sokongan rakyat selepas PRK DUN Nenggiri.
Menurutnya, keadaan itu perlu memandangkan Johor menjadi antara negeri yang mendapat banyak limpahan pembangunan sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk.
Manfaat pembangunan itu ujarnya, termasuk Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) Johor Bahru-Singapura dan inisiatif naik taraf pintu sempadan Johor-Singapura bagi mengurangkan kesesakan laluan darat.
“Kami (PH) akan turun seolah-olah calon BN ini adalah calon PH. Kami masuk PRK Mahkota ini dengan misi membantu kemenangan calon BN.
“Kemenangan DUN Mahkota ini penting kerana akan mengekalkan momentum kemenangan Nenggiri yang diperoleh beberapa minggu lepas.
“Jadi, dengan kemenangan DUN Nenggiri dan DUN Mahkota ia akan memberi memberi momentum yang sangat baik dengan Johor antara negeri paling banyak menerima limpahan manfaat sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas pilihan raya (PRU15) yang lepas,” katanya.- MalaysiaGazette