Onn Hafiz dan calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah bertemu sekumpulan mahasiswa yang menemuinya dalam program ziarah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Berlian, Kluang

KLUANG – Menteri Besar Johor merayu penuntut institut pengajian tinggi (IPT) yang tinggal di luar kawasan supaya balik mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, 28 September ini.

Perkara itu disampaikan Datuk Onn Hafiz Ghazi kepada sekumpulan mahasiswa yang menemuinya dalam program ziarah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Berlian di sini hari ini.

“Kepada anak-anak muda terutama mahasiswa dan mahasiswi, semua sedia maklum insya Allah pada 28 September ini akan berlaku pilihan raya, semua warga DUN Mahkota akan keluar mengundi.

“Jadi, saya bagi pihak Barisan Nasional (BN) ingin merayu kepada semua anak muda untuk ramai ramai keluar untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN),” katanya.

Kelmarin, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui kuasa di tangan 50 peratus pengundi yang menetap di luar DUN Mahkota menjadi cabaran BN untuk mengekalkan kemenangan.

Sehubungan itu menurut Timbalan Perdana Menteri, kerjasama dilakukan bersama parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan memastikan kumpulan tersebut pulang mengundi.

PRK kerusi DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada BN dan Perikatan Nasional (PN).

BN mempertaruhkan Syed Hussien Syed Ibrahim manakala PN diwakili Mohamad Haizan Jaafar, 61.

Terdapat 48 peratus daripada keseluruhan pengundi di DUN Mahkota terdiri pengundi muda berusia 21 hingga 40 tahun.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast