KUALA TERENGGANU – Polis mengeluarkan 65 saman berkaitan pelbagai kesalahan menerusi Op Khas Motosikal Sempena RXZ Members 6.0, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, operasi di sekitar pusat bandar yang bermula pada 5 petang hingga 11.59 malam itu melibatkan 18 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik selain dibantu Jabatan Alam Sekitar.
“Kesalahan tertinggi adalah mengubah suai ekzos motosikal iaitu sebanyak 16, diikuti tiada cermin sisi (12), kesalahan berkait aksesori (sembilan), tiada nombor pendaftaran dan isu nombor plat (lima) dan (jumlah) selebihnya lain-lain kesalahan.
“Satu kesalahan direkodkan akibat menunggang motosikal di bawah umur 16 tahun selain tiga kesalahan tiada lesen memandu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Azli berkata, tiada sebarang tangkapan ke atas 25 individu yang diperiksa dan menjalani ujian saringan air kencing.
Terdahulu, lebih 40,000 peserta dari seluruh negara membanjiri Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus selama dua hari bermula Jumaat lepas sempena program himpunan motosikal RXZ Members 6.0 yang memasuki siri keenam penganjuran, tahun ini.
Semalam, Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata meskipun berpuas hati dengan perjalanan program hasil kerjasama baik antara penganjur dan pihak berkuasa tempatan (PBT), namun pemantauan pihaknya mendapati masih berlaku pelanggaran peraturan lalu lintas oleh peserta.
Khairi berkata, meskipun tiada saman dikeluarkan secara terus sepanjang program berlangsung kerana enggan menambah kesesakan, polis mempunyai bukti kesalahan dibuat peserta menerusi rakaman gambar serta video dan katanya saman akan dihantar terus kepada pemilik motosikal melalui alamat pada pendaftaran kenderaan.
Dalam perkembangan berasingan, Azli berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang peserta berasal dari Maran, Pahang berusia 25 tahun mendakwa ditipu atas urusan sewaan inap desa yang tidak wujud bernilai RM350.
“Mangsa tertipu dengan tawaran sewa inap desa melalui iklan di Facebook. Mangsa telah membayar RM350 ke sebuah akaun bank pada pukul 8.43 malam semalam namun menyedari ditipu apabila tiba di alamat yang diberikan dan dimaklumkan pemilik rumah bahawa dia tidak menawarkan perkhidmatan tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – Bernama