Na'im Mokhtar

PUTRAJAYA – Mana-mana pihak yang berterusan memanipulasikan isu keagamaan serta perkauman sebagai senjata untuk melemahkan pihak yang tidak sealiran dengan mereka disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia akan memberi kesan pada rakyat yang menjadi mangsa keadaan kerana dihidangkan dengan berita fitnah, adu domba serta maki hamun yang memecahbelahkan silaturrahim.

“Negara memerlukan kompas tersendiri dalam menghargai keunikan kepelbagaian budaya, kaum dan agama.

“Semangat perpaduan dalam kemajmukan berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara akan membentuk
acuan jati diri yang berjiwa patriotik, bertoleransi dan bertanggungjawab untuk memperkukuh kesejahteraan
masyarakat yang menjadi nilai teras Malaysia Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 / 2024 dengan tema “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani” sebagai
asas untuk dihayati semua lapisan masyarakat, di sini hari ini.

Turut berangkat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Selain itu, ia juga dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isterinya serta jemaah menteri yang lain.

Tambah Mohd Na’im, sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan bertujuan menyuburkan kecintaan, menghayati serta mengamalkan segala intipati ajaran yang telah ditinggalkan Bagida Rasulullah berasaskan ilmu dan hikmah.

“Dalam keceriaan yang berwarna-warni, ayuh kita terus bersatu hati mendoakan sahabat-sahabat kita di Palestin diberikan
kesejahteraan dan keselamatan.

“Tidak dilupakan, turut didoakan rakyat Palestin yang sedang menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan agar dikurniaka kesihatan dan kesembuhan.

“Marilah bersama-sama kita berdoa agar Allah SWT mengurniakan limpahan kemakmuran dan keberkatan
kepada seluruh rakyat dan negara tercinta,” jelasnya.

Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan tahun ini melibatkan penyertaan seramai 6000 orang dari 131 kontinjen kementerian, badan berkanun dan agensi swasta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast