Cahaya laser yang dilepaskan oleh kapal pengawal pantai China ke kapal Filipina di Laut China Selatan awal Februari 2023. foto Philippine Coast Guard

MANILA – Filipina menegaskan bahawa negara itu tidak menyerah kalah ke atas sebuah terumbu di Laut China Selatan, dua hari selepas ia mengundurkan sebuah kapal yang ditugaskan di situ berikutan kebuntuan terhadap tuntutan China sejak berbulan-bulan lamanya.

Manila mengerahkan kapal pengawal pantai, BRP Teresa Magbanua, ke Beting Sabina pada April lalu untuk menghentikan Beijing daripada membina pulau buatan.

Bagaimanapun kapal tersebut diarahkan pulang ke Pulau Palawan, barat Filipina secara mengejut dengan Manila menyatakan kerosakan dialami daripada pelanggaran dengan kapal China sebelum ini, anak kapal yang sakit, makanan yang semakin berkurangan dan keadaan cuaca yang buruk.

“Kami tidak kalah apa-apa. Kami tidak meninggalkan apa apa, Beting Escoda merupakan sebahagian daripada zon ekonomi eksklusif kami,” kata Jurucakap Pengawal Pantai Filipina, Jay Tarriela pada sidang media, yang merujuk kepada Beting Sabina sebagai Beting Escoda oleh Filipina.

Beijing menuntut sebahagian besar Laut China Selatan, termasuk Beting Sabina, walaupun tribunal antarabangsa memutuskan tuntutan tersebut tidak mempunyai merit.

China telah bertindak agresif terhadap kapal Filipina di Beting Sabina dan kawasan tuntutan lain sejak beberapa bulan kebelakangan ini dengan melanggar, menghalang dan melakukan ‘water-cannoning’ yang menyebabkan kerosakan dan kecederaan.

Konfrantasi telah mencetuskan kebimbangan Amerika Syarikat (AS), sekutu Manila, mungkin mengakibatkan konflik bersenjata dengan China.

Dengan tindakan China mengganggu misi pembekalan semula, Tarriela berkata, tiba masanya penyahsalinan air BRP Teresa mengalami kerosakan menyebabkan anak kapal terpaksa bergantung kepada air hujan sebagai minuman ‘lebih daripada sebulan’

Beliau berkata, anak kapal juga terpaksa ‘makan bubur selama tiga minggu’ yang mana ‘ia jelas tidak berkhasiat’.

Berikutan pengunduran kapal itu, semalam Pengawal Pantai China menyatakan bahawa Beijing ‘telah mempunyai kedaulatan yang tidak dapat dipertikaikan’ ke atas Beting Sabina.

Ia memberi amaran kepada Filipina untuk ‘menghentikan propaganda dan mempertaruhkan pelanggaran’ sambil menambah, Beijing akan ‘terus melaksanakan hak melindungi dan aktiviti penguatkuasaan undang-undang’ di sana.

Bagaimanapun, Tarriela mengekalkan pendirian bahawa pengunduran dari Beting Sabina ‘bukan kekalahan’, menolak perbandingan dengan Beting Scarborough yang mana Manila tewas kepada Beijing selepas kebuntuan yang sama berlaku pada 2012.

Beliau berkata, adalah ‘mustahil’ untuk China menghalang Filipina secara menyeluruh menghantar kapalnya ke Beting Sabina yang berkeluasan 137 kilometer persegi.

“Pengawal pantai boleh laksanakan apa sahaja untuk mereka memastikan China tidak menduduki dan menambak Beting Escoda,” katanya.

“Kami mempunyai kapal pengawal pantai lain, mungkin akan atau mungkin telah menuju ke Beting Escoda,” kata Tarriela tanpa memperincikan perkara tersebut dengan mengambil kita keselamatan operasi.

Beting Sabiha terletak 140 kilometer barat Pulau Palawan dan kira-kira 1,200 kilometer dari Pulau Hainan, China. – AFP