KLUANG – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota masih bersemangat untuk terus berkempen walaupun hanya tidur beberapa jam sejak empat hari lalu.
Mohamad Haizan Jaafar, 61, atau lebih dikenali sebagai Coach Haizan dalam kalangan penduduk setempat berkata, beliau masih lagi bertenaga dan mempunyai stamina.
Beliau berkata, tidak cukup tidur dan berehat bukan halangan untuknya terus berkempen yang memasuki hari keempat hari ini.
“Saya sudah empat hari tidak tidur, tidur pun sekejap-sekejap sahaja. Hari ini masuk hari keempat (kempen PRK Dun Mahkota) saya masih bersemangat dan sihat.
“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu,” katanya kepada emberita semasa berkempen dan melawat kawasan banjir di Kampung Bentong Dalam di sini hari ini.
Sebeluum itu, Mohamad Haizan ditemui semasa berkempen sejak tiga hari lalu didapati hampir hilang suara.
Ditanya mengenai kempen menerusi media sosial, Mohamad Haizan berkata, pihaknya menggunakan semua saluran digital tersebut bagi mendekati pengundi.
“Terus terang saya saya cakap, (kempen melalui) TikTok semuanya membantu,” ujarnya.
PRK DUN Mahkota yang akan diadakan pada 28 September ini menyaksikan pertandingan antara Haizan dan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.
Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. – MalaysiaGazette