KLUANG – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota tidak mahu menjadi calon yang cakap tidak serupa bikin dan hanya pandai berjanji tetapi apabila menang namun tidak mampu menunaikannya.
Mohamad Haizan Jaafar, 61, berazam menjadi pengimbang yang kuat dan lantang bersuara sekiranya berjaya merampas kerusi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini.
Menurutnya yang lebih dikenali sebagai Coach Haizan dalam kalangan penduduk setempat, menjadi pengimbang tidak menghalangnya untuk memperjuangkan nasib dan kebajikan penduduk DUN Mahkota.
Beliau berkata, antara isu mendesak yang akan diperjuangkan adalah banjir terutama di Kampung Bentong Dalam di sini yang sudah berlarutan sejak kira-kira 20 tahun lalu.
“Saya akan bawa masalah ini dan suarakan dalam sidang DUN Johor sekiranya menang PRK DUN Mahkota. Saya akan desak supaya diambil tindakan.
“(Saya) akan menjadi pembangkang (pengimbang) yang mempunyai suara kuat, itu tanggungjawab saya (apabila menang PRK DUN Mahkota nanti),” katanya ketika berkempen dan melawat kawasan banjir di kampung berkenaan hari ini.
Mohamad Haizan berkata, apa yang akan dilakukan nanti adalah mencadangkan parit dan Sungai Melantai di kampung tersebut didalamkan.
Selain itu, beliau mengesyorkan projek tebatan banjir dibina di kampung berkenaan dan membina tebing dan longkang batu bagi mengatasi masalah tersebut.
“Biasanya, apabila hujan lebat lebih 40 minit, banjir akan berlaku di kampung ini dengan air naik sehingga paras pinggang, kalau hujan lebih lama boleh cecah ke paras bumbung rumah,” katanya.
Beliau mendakwa, berdasarkan maklumat bekas ketua kampung, banjir sudah berlaku di situ sejak 2004 lagi dan parit di kiri kanan jalan berkenaan sudah lama tidak dikorek.
“Sebelum ini, kawasan seluas 35 hektar pernah dicadangkan untuk dibina projek tebatan banjir antara Sungai Mengkibol dan Sungai Melantai tetapi sampai sekarang tidak dilaksana.
“Pernah disyorkan tanah penduduk kampung seluas dua atau tiga ekar dibuat projek tebatan banjir. Penduduk akan dapat manfaat daripada projek ini dengan aktiviti pelihara ikan dan sebagainya,” katanya.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.
Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.- MalaysiaGazette