KLUANG – Dakwaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) hari ini sudah ‘menanggalkan’ asas-asas perjuangan dijangka menjadi modal dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki merasakan sentimen itu akan dimainkan dalam usaha pembangkang memanipulasi dan merosakkan pemikiran pengundi.
Jelas beliau, pendekatan itu sudah menjadi mainan politik pembangkang terutama pada pilihan raya dengan menimbulkan kekeliruan yang melibatkan perjuangan UMNO.
“Kita harap pengundi di DUN Mahkota menolak sentimen manipulasi yang dibawa pembangkang.
“Ia masih kuat lagi dimainkan di mana-mana PRK jaja UMNO dengan Dap seolah-olah dua parti saja yang bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan sedangkan penubuhan kerajaan ini berasaskan 19 parti politik.
“Bila keluar Muda (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) hanya tinggal 18. Jadi 18 parti ini sebenarnya adalah parti yang mewajahkan realiti sebenar Malaysia.
“Berbilang kaum daripada Sabah dan Sarawak tetapi tunjang dan akarnya masih lagi Islam, Melayu dan juga bumiputera,” katanya berucap di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dorset di sini malam tadi.
Asyraf Wajdi berkata, kepelbagaian berkenaan menjadi teras kepada kestabilan politik dimiliki negara sejak mencapai kemerdekaan sehingga kini.
“Sebab itu mahu tak mahu kita kena sedar bahawa Malaysia ini didirikan dengan teras-teras utama. Teras yang pertama adalah sifatnya yang majmuk berbilang kaum dan berbilang agama.
“Yang kedua, walaupun dalam kepelbagaian agama dan kaum, tunjang, induk adalah Islam, Melayu bumiputera. Jadi ini asas yang paling penting,” ujar beliau.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.
Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.- MalaysiaGazette