GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyatakan sokongan penuh terhadap penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang akan bermula pada 1 Oktober ini.
Bagaimanapun, Pegawai Pendidikan CAP, NV. Subbarow menekankan keperluan tindakan lebih tegas dalam menangani penggunaan e-rokok dan vape di kawasan larangan merokok.
“Keputusan ini sesuatu yang ditunggu-tunggu kerana ia bukan sahaja boleh menyelamatkan nyawa manusia tetapi juga alam sekitar.
“Tindakan penguatkuasaan itu perlu dilakukan secara berkesan dan tegas dengan tiada lagi beri amaran atau kompaun.
“Akta ini pasti menyelamatkan berjuta-juta nyawa anak muda yang ketagih rokok, vape dan e-rokok sehingga akhirnya terjerumus dengan dadah berbahaya,” katanya dalam kenyatan media hari ini.
Mengulas lanjut Subbarow menekankan perlunya larangan ketat terhadap akses kanak-kanak kepada produk tembakau termasuk vape dan e-rokok.
Beliau berharap kerajaan serius dalam menguatkuasakan undang-undang baharu ini demi masa depan generasi muda yang berdepan risiko ketagihan.
“Tanda amaran di zon larangan merokok bagi pengguna vape dan e-rokok mesti diletakkan termasuk di perhentian bas, pusat beli-belah serta tempat awam,” katanya.
Terdahulu, KKM dalam satu kenyataan memaklum penguatkuasaan akta itu yang merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan dan larangan merokok di tempat awam.
Menurut KKM peraturan dan perintah yang bakal dikuatkuasakan termasuk rokok elektronik. – MalaysiaGazette