pasukan Hazmat semasa terlibat kerja pembersihan tong disyaki bahan cecair kimia yang dipercayai dibuang di Sungai Buloh dalam insiden pada Selasa lalu.Foto Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan tong disyaki mengandungi bahan cecair kimia ditemui dalam parit di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, dekat sini, pada Selasa lalu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan aduan mengenai insiden tersebut pada Selasa lalu.

Katanya, bertindak atas panggilan itu sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh bersama sebuah jentera serta sebuah Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP Shah Alam dikerah ke lokasi untuk tindakan lanjut.

“Sejurus tiba di lokasi jam 9.12 malam, Komander Operasi PBK I, KUP Narmizi Hamzah menerusi pemeriksaan lanjut bersama anggotanya di lapangan melaporkan bahawa terdapat lapan tong sisa buangan jenis cecair berada di dalam parit berkedalaman satu kaki iaitu kira-kira 0.3 meter dipercayai bahan kimia.

“Anggota Hazmat membuat kerja-kerja mengambil sampel untuk diserahkan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar.

Pasukan Hazmat BBP Shah Alam bersama agensi lain terlibat kerja pembersihan tong cecair di Sungai Buloh pada Selasa lalu.Ihsan Bomba Selangor

“Pihak Jabatan Alam Sekitar yang turut berada di lokasi dan telah mengumpul sampel. Tindakan akan dibuat setelah mendapat keputusan dari sampel tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bertindak atas insiden itu, seramai dua anggota polis, tiga anggota JAS, dua anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam, enam wakil dari Pejabat Tanah dan dua wakil SPAN turun ke lokasi untuk tindakan.

“Pasukan dari agensi lain turut turun berganding bahu dan sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan di lokasi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast