Amirudin ketika berucap dalam ceramah kelompok di Flat Haji Manan, Kluang malam tadi.

KLUANG – Pengundi di Dewan Undanan Negeri (DUN) Mahkota diingatkan supaya tidak tergoda dengan bisikan syaitan pihak pembangkang yang akan menyebabkan masyarakat berpecah belah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, orang Johor terkenal dengan semangat perpaduannya dan mereka harus mengekalkan keharmonian sedia ada.

“Bagaimanapun kita jangan merasa selesa kerana pembangkang suka memecahbelahkan masyarakat.

“Jangan biarkan mereka merosakkan perpaduan yang sudah terjalin dalam kalangan rakyat Johor.

“Jangan terpengaruh dengan bisikan syaitan mereka,” katanya ketika berucap dalam ceramah kelompok di Flat Haji Manan di sini malam tadi.

Beliau berkata, apa sahaja yang kerajaan lakukan walaupun bagus tidak diakui dan pembangkang yang pada masa sama tidak memberi sebarang penyelesaian terhadap isu terkini.

Antara yang dilakukan kerajaan katanya, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya  mengurangkan kemiskinan tegar dengan memberikan bantuan bersesuaian.

Jelasnya, itu adalah perbezaan antara Kerajaan Perpaduan yang bertanggungjawab terhadap rakyat dengan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi mengingatkan pengundi Kluang supaya memilih calon yang berkualiti dan boleh berkhidmat untuk mereka.

“Calon pembangkang apabila ditanya pihak media tentang rancangan untuk mengatasi banjir di Kampung Bentong, Mahkota, dia mencadangkan supaya sungai sedia ada didalam dan dilebarkan.

“Dia tidak tahu kedua-duanya projek itu sudah dilakukan dan sudah tidak boleh didalam atau dilebarkan lagi. Projek tebatan banjir akan dibina selepas ini bagi mengatasi banjir,” katanya.

Sebab itu katanya, pengundi perlu memilih calon yang tepat dan berkualiti sekali gus memahami isu-isu setempat serta mampu memberikan jalan penyelesaian.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Ini menyaksikan pertembungan Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar yang merupakan bekas pemain bola sepak Johor.

Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast