Fadhlina Sidek

BATANG KALI – Seramai 83,752 pelajar dan 3,458 sekolah mendapat manfaat daripada Program Anak Kita yang dilancarkan hari ini.

Menteri Pendidikan (KPM), Fadhlina Sidek berkata program pertama seumpamanya itu merupakan salah satu inisiatif bidang keutamaan kerajaan di bawah fokus Reformasi Pendidikan yang direka khusus untuk menangani masalah keciciran pembelajaran di Malaysia.

“Keseluruhan program ini akan melibatkan 83,752 murid dan 3,458 buah sekolah, jadi ia menjadi satu data yang besar kerana ia bukan hanya pelajar sekolah rendah sahaja tapi juga melibatkan sekolah menengah.

“Kita ada satu lagi intervensi di peringkat KPM yang telah dilaksanakan pada murid tahun 1 melibatkan 3M (membaca, menulis dan mengira).

“Mungkin ketika ini, anak-anak ini dimasukkan dalam data keciciran.

“Namun dalam tempoh sebulan dua lagi dia mungkin sudah terkeluar daripada kumpulan itu.

“Ini bergantung kepada hasil pelaksanaan progam itu dan kejayaan intervensi,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Reformasi Pendidikan Program Anak Kita Semarak Potensi Malaysia di Sekolah Kebangsaan Rasa, Hulu Selangor, pagi tadi.

Hadir sama adalah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Jelas Fadhlina lagi, program ini merangkumi tiga aspek iaitu Program 3M (Sekolah Rendah), Program Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (Sekolah Menengah) dan Program Murid Cicir (Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah).

“Bagi fasa pertama program ini melibatkan tujuh negeri untuk Program 3M iaitu Johor, Perak, Selangor, Kelantan, Kedah, Sabah dan Sarawak manakala Program SPM melibatkan negeri di seluruh negara.

“Program Murid Cicir pula melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak bagi fasa permulaan,” katanya lagi.

Ditanya sama ada jumlah 83,752 pelajar itu adalah tergolong dalam faktor keciciran, Fadhlina hanya berkata “Mereka sama ada tercicir atau ketinggalan dalam pelajaran tetapi mempunyai potensi untuk dipertingkatkan.

“Jadi kita tidak melihat ia dari satu aspek sahaja tapi melihat kepada potensi boleh dilonjakkan. Kita mengambil ketetapan bahawa mereka ini perlu diberikan tumpuan,” katanya.

Bagi Program 3M, sejumlah 53,252 adalah melibatkan murid pemulihan khas (Tahun 2 hingga 6) di 1,288 sekolah, Program SPM melibatkan 10,000 murid Tingkatan 5 (SPM 2024) di 1,500 sekolah menengah dan 20,000 murid Tingkatan 4 (SPM 2025) di 600 sekolah menengah.

Sementara Program Murid Cicir adalah melibatkan 500 murid cicir di 50 sekolah menengah 20 sekolah rendah di Selangor, Kedah, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, program ini adalah tambahan kepada usaha Kementerian Pendidikan dalam memastikan agar kadar keciciran pelajar di negara ini dapat diatasi.

“Ini bukan untuk mengambil alih usaha dalam KPM tapi untuk memberikan sokongan yang lebih agar kita dapat menangani isu yang ada dalam negara.

“Ini adalah tambahan dengan apa yang kita ada sekarang. Program ini adalan intervensi pembelajaran yang disediakan dengan kerjasama KPM,” katanya dalam sidang media sama.

Sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2024 bagi melaksanakan pendekatan holistik yang melibatkan semua pihak dalam membantu murid yang terkesan dalam isu keciciran pembelajaran.

Untuk rekod, Intervensi khusus di bawah Program Anak Kita bakal berlangsung sehingga 31 Disember 2025. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast