Pelumba DSM Firmenich Postnl, David Max Poole (tengah) memenangi perlumbaan Le Tour de Langkawi 2024 peringkat ketiga (Taiping-Cameron Highlands) di Tanah Rata, Cameron Highlands. Foto MOHD ADZLAN, 01 DISEMBER 2024.

CAMERON HIGHLANDS – Pelumba Britain Max Poole mengungguli perlumbaan peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari Taiping ke Cameron Highlands hari ini.

Pada perlumbaan di laluan mendaki meliputi jarak 170.3 kilometer (km) itu, pelumba berusia 21 tahun dari pasukan DSM-Firmenich PostNL itu melepasi garisan penamat dengan catatan masa 4 jam 24 minit 34 saat (s).

Poole mengetepikan cabaran pakar pendakian Astana Qazaqstan Team, Harold Martin Lopez dan Thomas Pesenti dari JCL Team UKYO masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.

Dengan kemenangan ini, Poole merampas gelaran selaku pendahulu keseluruhan (Jersi Hijau) dan Raja Bukit (Jersi Polka Dot) selepas menawan zon pendakian ketiga kategori Hors di Brinchang.

“Banyak yang menarik (dalam pendakian) berada berhampiran saya. Saya cuba menyelesaikan tugas ini dengan melakukan pecutan ke garisan penamat. Ia berjalan lancar. Saya gembira kerana melakar kemenangan pertama di sini,” kata pelumba yang pernah menaiki podium pada perlumbaan Vuelta a Espana tahun ini.

Jersi Putih selaku pelumba Terbaik Asia bertukar tangan kepada Manabu Ishibashi dari JCL Team UKYO, sementara Jersi Jingga (Raja Pecut) dirampas rakan sepasukannya Matteo Malucelli yang menjuarai peringkat kedua semalam.

Esok, perlumbaan peringkat keempat membabitkan jarak 131.2km dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong menawarkan tiga zon pecutan di Raub, Sungai Ruan dan Sungai Klau selain satu zon pendakian di GAP. – Bernama

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast