KUALA LUMPUR – Fasilitator atau fasi buat prank memohon maaf selepas insiden itu tular baru-baru ini di media sosial kerana bergurau bergaduh dengan rakan lain semasa orientasi pelajar baharu demi menyambut hari jadi rakan mereka.
Menerusi beberapa hantaran di TikTok, seorang pemilik akaun dikenali ms.ezad25 telah memuat naik video permohonan maaf daripada salah seorang fasilitator pada hari orientasi tersebut sebagai wakil.
Menurut fasilitator yang mewakili rakan pemimpinnya yang lain di universiti awam tersebut, dia mengakui kesilapan di samping berkata apa yang mereka lakukan pada hari tersebut adalah tidak sesuai.
“Saya mengakui kesilapan saya. Pertama sekali, mungkin kandungan yang saya buat tu tak berapa sesuai. Apa-apapun, saya kena mengakulah. Memang itu kesalahan yang kita tak boleh nafikan,” katanya.
Sementara itu, fasilitator tersebut berpendapat walaupun tindakan netizen mengecam fasilitator dan pelajar di universiti awam itu kurang sesuai, dia berharap semua orang dapat bergembira semasa orientasi itu.
“Mungkin apa yang difikirkan netizen itu dan apa tindakan netizen terhadap saya dan terhadap anda semua mungkin tidak sesuai, saya harap semua enjoy.
“Saya minta maaf dari pihak saya dan saya mewakili keseluruhan fasilitator kerana tindakan saya menyebabkan nama kami, nama anda semua mungkin tercalar. Saya harap, orientasi kali ini menjadi kenangan untuk anda semua,” ujarnya.
Sebelum ini, tular di media sosial video memaparkan hari orientasi pelajar baharu di Universiti Teknologi MARA, Segamat yang mana fasilitatornya membuat prank demi sambut hari lahir rakan mereka.
Menurut fasilitator tersebut, mereka juga terpaksa mengorbankan hari cuti mereka kerana perlu menjayakan hari orientasi tersebut namun dibalas dengan pergaduhan bersama fasilitator lain.
Melihat kepada wajah pelajar baharu ketika fasilitator tersebut bergaduh, segelintir daripada mereka kelihatan sedikit cuak atau gentar melihat kejadian tersebut.
Rupa-rupanya pergaduhan tersebut hanyalah helah daripada fasilitator untuk menyambut hari jadi rakan mereka yang dipercayai merupakan salah seorang daripada fasilitator semasa orientasi.
Sebaik mendengar nyanyian lagu ‘Happy Birthday’, terdapat beberapa pelajar baharu lelaki yang kedengaran kurang berpuas hati dengan sambutan tersebut.
Rata-rata netizen melabel fasi universiti awam itu syok sendiri kerana menyambut hari lahir rakan mereka di hadapan pelajar baharu. – MalaysiaGazette