JOHOR BAHRU – Seramai 20 lelaki warga Taiwan dan China dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan memperdayakan mangsa melalui love scam.
Tertuduh iaitu Wu Wen Jung (warga Taiwan) dan 19 warga China, He Ne, Guang Liang, Jin Yi Hao, Zhang Wei, Liu Zhi Rong, Li Ya Xuan, Ran You, Zhang Shi Han, Zhao Run Qiang, Lu Ye Ri, Li Peng, Yu Liang, Liu Bing, Liu Lin, Li Jua Gang, Chen Kui Peng, Zhi Xiao Bo, Zhao Ke Yu dan Wang Yin Cheng.
Mereka yang berusia antara 21 hingga 36 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan bersama-sama dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Berdasarkan kertas pertuduhan kesemua mereka melakukan pakat jahat jenayah yang menyalahi undang-undang iaitu memperdayakan mangsa melalui ‘love scam ‘ dan dengan curang mendorong mangsa menyerahkan wang.
Perbuatan itu dilakukan secara bersama di Jalan Saujana 2, Horizon Hill di Iskandar Puteri, pada pukul 12.30 tengah hari 23 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Navina manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Goh Sze Han dan Ahmad Yusri Ahmad Fuad.
Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan dua penjamin warga tempatan, selain lapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
Sebutan semula kes untuk serahan dokumen ditetapkan 18 November ini.
Kesemua tertuduh ditahan pukul 12.30 tengah hari, pada 23 September lalu hasil serbuan dan pemeriksaan di sebuah premis kediaman di Horizon Hill di Iskandar Puteri yang dijadikan tempat operasi ‘calling centre’ bagi tawaran kerja tidak wujud.
Mereka disyaki terbabit dalam aktiviti penipuan tawaran pekerjaan secara dalam talian yang mensasarkan warganegara asing di luar negara sebagai mangsa. – MalaysiaGazette
















