Suspek wanita berusia 42 tahun direman lima hari selepas disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah RM48,000 daripada seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri tahun lalu.

MELAKA – Seorang bekas ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) direman lima hari bermula hari ini selepas disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah RM48,000 daripada seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri tahun lalu.

Perintah reman terhadap suspek wanita berusia 42 tahun itu  sehingga 14 Oktober ini dikeluarkan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri.

Terdahulu suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, di sini, kira-kira pukul 9 pagi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menaiki kenderaan khas SPRM atau Special Purpose Vehicle (SPV) .

Menurut sumber, wanita itu yang juga bekas wartawan di negeri ini ditahan pukul 3.45 petang semalam selepas hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan.

“Suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang ahli peniagaan sebagai balasan bagi mendapatkan pengurniaan Datuk Seri sempena Majlis Pengurniaan Darjah Kebesaran negeri Melaka tahun lepas.

“Siasatan awal mendapati wang rasuah yang diterima suspek dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan disyaki berlaku puluhan transaksi kemasukan wang dari 2022 hingga 2023,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) SPRM 2009.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast