JIM Johor menahan 50 PATI dalam operasi di Senai, Johor Bahru malam tadi.

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 50 warganegara asing selepas menggempur kawasan hotspot di Senai di sini awal pagi ini.

Operasi penguatkuasaan itu dijalankan 70 pegawai Bahagian Penguatkuasa JIM Johor dan dari Bangunan Sultan Iskandar JIM Johor pada pukul 12.25 tengah malam hingga 1 pagi tadi.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi itu dilakukan di sembilan buah premis yang menggajikan pekerja warga asing.

Jelasnya, tindakan diambil susulan maklumat awam berhubung warga asing dipercayai bekerja tanpa pas atau permit yang sah di lokasi terbabit.

“Dalam pemeriksaan itu seramai 15 lelaki dan 32 perempuan warganegara Myanmar, dua lelaki Nepal dan seorang lelaki Indonesia telah ditahan.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 19 tahun hingga 55 tahun,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Katanya, semua warga asing itu ditahan atas kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa.

Menurutnya, seorang wanita Myanmar turut ditahan atas kesalahan Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut, katanya.

“JIM akan terus mempergiat usha penguatkuasaan terutama di kawasan hotspot bagi membanteras isu kebanjiran PATI yang semakin galak menguasai sesuatu kawasan,” ujarnya.

Tambahnya, JIM Johor tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap PATI atau majikan yang melanggar undang-undang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast