Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

PUTRAJAYA –  Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik balik rayuan bagi mengetepikan perintah injunksi mareva yang diperoleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikat pelaburan strategik negara itu terhadapnya.

Injunksi berkenaan bagi menghalang bekas perdana menteri itu daripada melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia sehingga AS$681 juta.

Untuk makluman, injuksi mareva adalah perintah sementara menghalang mana-mana defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes membabitkan plaintif dan defendan.

Tiga panel hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Lee Swee Seng bersama-sama Datuk Dr Choo Kah Sing dan Datuk Azman Abdullah membatalkan rayuan itu hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas dimaklumkan oleh peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee bahawa rayuan anak guamnya itu dihentikan kerana ia sudah menjadi ‘akademik’.

Bagaimanapun, Muhammad Farhan tidak menjelaskan maksudkan ‘akademik’ itu.

Panel hakim juga memerintahkan Najib untuk membayar kos berjumlah RM30,000 kepada 1MDB.

Sebelum ini, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan tidak berjaya mengetepikan perintah injunksi itu selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan tersebut pada September tahun lalu.

Pada 8 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan ex-parte bagi injunksi mareva oleh 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) iaitu plaintif pertama dan kelima dalam saman terhadap Najib serta beberapa individu lain.

Injunksi itu turut mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukan untuk perbelanjaan sara hidup dan guaman namun sekiranya jumlah lebih banyak diperlukan, beliau perlu mendapat kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.

Perintah itu juga menyatakan Najib mesti membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya bernilai sehingga AS$681 juta sama ada di dalam atau di luar negara di bawah nama beliau sendiri atau tidak, dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama dengan defendan lain.

Injunksi mareva itu adalah berkaitan saman difailkan 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadap Najib bagi menuntut AS$8 bilion daripadanya dan tujuh yang lain berikutan kerugian kewangan dialami syarikat berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast