JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mempersoalkan ucapan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri yang menyentuh soal tahanan di rumah.
Beliau hairan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh perkara tersebut dalam pembentangan belanjawan negara yang sepatutnya memberi tumpuan kedudukan kewangan dan perbelanjaan.
“Kelihatan janggal. Sepatutnya (belanjawan) bincang bagaimana untuk menambah hasil pendapatan negara, langkah untuk kurangkan hutang kerajaan dan defisit fiskal, misalnya.
“Ucapan belanjawan seharusnya menumpu soal ekonomi dan kewangan, bukannya soal reformasi undang-undang atau urusan penjara,” katanya dalam kenyataan.
Hassan melontarkan pertanyaan sama ada itu merupakan satu ‘persiapan awal’ dalam membina persetujuan awam meminda undang-undang meringankan hukuman bagi golongan elit tertentu.
“Hanya satu perenggan sahaja. Tidak dijelaskan kenapa tiba-tiba perlu sangat soal tahanan di rumah dimasukkan ke dalam ucapan belanjawan,” soalnya.
Beliau juga bertanya apakah jenis kesalahan jenayah yang akan dikenakan hukuman itu turut meliputi mereka yang disabit bersalah atas dakwaan rasuah dan pecah amanah jenayah.
Jelasnya, walaupun Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 yang melibatkan perubahan signifikan dalam undang-undang kewarganegaraan diluluskan dengan majoriti dua pertiga, keadaan pastinya tidak sama untuk sebarang usaha menggubal akta berkaitan tahanan di rumah.
Beliau pasti perkara tersebut akan ditentang oleh rakyat dan ahli Parlimen jika dilihat daripada awal hanya untuk memberi keistimewaan tertentu kepada golongan elit.
“Saya harap Perdana Menteri janganlah meneruskan agenda yang regresif seperti ini,” katanya.
Semalam, ucapan Anwar turut mengandungi bahagian berkenaan peluang kedua dan membayangkan rancangan untuk merangka undang-undang bahaaru bagi membolehkan tahanan di rumah sebagai hukuman alternatif untuk kesalahan tertentu.
“Pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat-syarat ditetapkan dan dipantau pegawai penjara,” menurut teks ucapan.
Anwar bagaimanapun tidak membacakan bahagian itu ketika berucap semalam.
Menurut peguam, banduan di Malaysia tidak boleh memohon untuk tahanan di rumah memandangkan tiada peruntukan berkenaannya dalam sistem perundangan negara.
Isu tersebut hangat diperkatakan pada awal tahun lalu apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa pengampunan diraja terhadapnya membenarkannya untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabit bersalah dalam kes SRC International dan masih lagi dibicarakan untuk kes-kes berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).- MalaysiaGazette