Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Azura Abidin dan Pengarah Pusat Belia Antarabangsa, Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee ketika mengunjungi Mini Petting Zoo yang disediakan pada Sambutan Hari Terbuka Pusat Belia Antarabangsa 2024 di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras. Foto SADIQ SANI, 20 OKTOBER 2024

KUALA LUMPUR – Suasana di pekarangan Pusat Belia Antarabangsa Kuala Lumpur (IYC) di Jalan Yaacob Latiff, Bandar Tun Razak semalam cukup meriah dan berwarna warni  dengan kehadiran ribuan orang ramai  sempena  Hari Terbuka 2024, semalam.

Hari Terbuka IYC kali ini mempunyai makna yang mendalam, kerana ia disambut bersempena ulang tahun penubuhannya yang ke-36.

Seawal 7 pagi, perkarangan IYC telah dipenuhi dengan suasana meriah, menarik perhatian ribuan pengunjung, terutamanya golongan belia, pelajar sekolah, guru-guru, dan penduduk setempat.

Gelagat kanak-kanak yang hadir pada Sambutan Hari Terbuka Pusat Belia Antarabangsa 2024 di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras. Foto SADIQ SANI, 20 OKTOBER 2024

Menariknya, Hari Terbuka IYC tahun ini memberi fokus kepada inisiatif dan segmen Rakan Muda secara menyeluruh.

IYC Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1988, berfungsi sebagai institusi kecemerlangan program pembangunan belia khususnya antarabangsa. Seiring dengan peranannya, ia juga merupakan hub dan pejabat bagi pertubuhan-pertubuhan belia antarabangsa.

Sempena Hari Terbuka IYC semalam, banyak pengisian diadakan bagi mempromosikan program-program pembangunan belia dan seterusnya memperkenalkan pelbagai inisiatif serta kemudahan yang disediakan untuk golongan tersebut.

Aksi para peserta yang menyertai acara Marathon Aerobic yang diadakan pada Sambutan Hari Terbuka Pusat Belia Antarabangsa 2024 di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras. Foto SADIQ SANI, 20 OKTOBER 2024

Dengan inisiatif Rakan Muda, aktiviti-aktiviti yang diatur menggalakkan penyertaan belia melalui pelbagai kaedah serta platform berkaitan pembangunan kemahiran, kesihatan, dan keusahawanan.

Antara aktiviti menarik yang dianjurkan ialah pertandingan catur dan e-sukan, IYC’s Got Talent, Marathon Aerobik serta kelas melukis dan mewarna untuk kanak-kanak dengan menyediakan berbagai-bagai hadiah menarik.

Hari Terbuka IYC juga membawa pameran bergerak oleh Pusat Zakat, Bahagian Rakan Muda KBS, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), AADK, mini zoo, aktiviti memanjat tembok tiruan,dan saringan kesihatan percuma oleh Klinik Kesihatan Cheras, sekali gus menyokong Matlamat Pembangunan Lestari 2030 dalam aspek kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

Seorang kanak-kanak mengambil peluang untuk mencuba ‘wall climbing’ yang disediakan pada Sambutan Hari Terbuka Pusat Belia Antarabangsa 2024 di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras. Foto SADIQ SANI, 20 OKTOBER 2024

Bercakap dengan MalaysiaGazette, Pengarah IYC, Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapee berkata, program hari terbuka dan sambutan ulang tahun ini menjadi platform kepada IYC untuk terus mempromosi lokasi itu sebagai pusat pembangunan belia bagi program-program Rakan Muda.

IYC mempromosikan gaya hidup sihat, kemahiran insaniah, dan semangat sukarelawan dalam kalangan belia Malaysia.

“Saya sangat teruja berada di sini meraikan ulang tahun cukup signifikan IYC ke-36 sekali gus Hari Terbuka yang sentiasa dinanti-nantikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sekumpulan anak-kanak yang menyertai pertandingan catur pada Sambutan Hari Terbuka Pusat Belia Antarabangsa 2024 di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras. Foto SADIQ SANI, 20 OKTOBER 2024

“Ternyata Hari Terbuka IYC ini berjaya menarik ribuan pengunjung, merupakan kesempatan terbaik IYC untuk mendekati belia, memperkenalkan program-program Rakan Muda dalam pelbagai bidang, termasuk kemahiran hidup dan keusahawanan.

“Matlamat kita untuk memastikan belia-belia kita mempunyai daya tahan yang tinggi dalam menghadapi cabaran mendatang.

“Program ini juga mengeratkan hubungan dengan komuniti dan rakan strategik melalui penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan yang turut serta dalam penganjuran acara ini. Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong inisiatif memperkasakan komuniti belia oleh IYC selama ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pengarah Pusat Belia Negara, Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee bercakap ketika ditemubual pada Sambutan Hari Terbuka Pusat Belia Antarabangsa 2024 di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras. Foto SADIQ SANI, 20 OKTOBER 2024

 

Dalam pada itu, kehadiran mantan Pengarah IYC yang terdahulu, Azura Abidin yang kini menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (KBS) turut menyuntik semangat warga kerja IYC.

Menurut Azura, dua tahun bersama IYC memberinya peluang untuk memperkasakan pusat belia dengan membina bangunan baharu, selain berkesempatan untuk menyambut Jubli Perak ke-25 ketika itu.

“Hari ini saya datang kembali dan berasa teruja melihat betapa pusat ini berkembang dengan lebih dinamik.

Orang ramai mengunjungi reruai dan trak makanan yang disediakan pada Sambutan Hari Terbuka Pusat Belia Antarabangsa 2024 di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras. Foto SADIQ SANI, 20 OKTOBER 2024

“Harapan saya agar IYC terus kekal sebagai hub golongan belia berkumpul, jalankan aktiviti, juga menjadikannya pusat keusahawanan dengan memasarkan produk-produk tempatan sehingga ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Antara yang menarik dan popular di IYC ini ialah inisiatif Youth Capsule (Y-Capsule) @IYCResidence yang dilancarkan tahun lalu bagi memberi manfaat kemudahan inapan kepada golongan belia yang mencari peluang pekerjaan di ibu negara dengan harga serendah RM10 sahaja.

Banyak lagi kemudahan lain termasuklah ruang belajar, aktiviti riadah dan bersukan yang boleh digunasama secara percuma serta lain-lain kemudahan dengan kadar harga yang mampu milik berkonsepkan ‘ruang selesa dan selamat’ – MalaysiaGazette

Para peserta yang menyertai pertandingan e-Sport yang diadakan pada Sambutan Hari Terbuka Pusat Belia Antarabangsa 2024 di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras. Foto SADIQ SANI, 20 OKTOBER 2024

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast