KLUANG – Sebanyak 956 kertas siasatan kes membabitkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sudah dibuka sejak awal tahun sehingga hari ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, jumlah itu melibatkan pemeriksaan 68,989 premis seluruh negeri.
Jelas beliau, operasi tersebut melibatkan pihak pengilang, pemborong dan peruncit.
“Daripada 956 kes ini, nilai rampasan berjaya diperoleh adalah sebanyak RM29,249,277. Selain itu kutipan jumlah denda mahkamah menghasilkan RM632,727 manakala jumlah keseluruhan kompaun adalah sebanyak RM392,800,” katanya.
Lilis Saslinda berkata demikian selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 di Pasaraya KS Mart, Taman Mengkibol di sini hari ini.
Katanya, antara tindakan kes paling banyak adalah bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
Sementara kesalahan lain melibatkan Akta Timbang Sukat (ATS), 1972 dan Akta Cap Dagang (ACD) 2019.
Menurutnya, pada 2024, pihaknya telah melaksanakan dua kali SHMMP melibatkan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
Beliau memberitahu, dalam tempoh berkenaan, sebanyak 19 kes telah dihasilkan dengan jumlah nilai kompaun sebanyak RM2,100 melibatkan kesalahan AKHAP.
Bagi memastikan pematuhan SHMMP, pihaknya akan mengambil tindakan kompaun serta merta dengan lebih tegas kepada peniaga.
Jelasnya, ia termasuk tindakan pengeluaran notis mengikut Seksyen 21 AKHAP 2011 akan dilaksana kepada pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak dan ketara.
“Seramai 200 anggota penguat kuasa di seluruh Johor akan mempertingkatkan penguatkuasaan dan pemantauan bagi memastikan harga harga barangan adalah berpatutan dan stabil,” katanya.
SHMMP yang bermula hari ini hingga 3 November depan menetapkan lapan barang keperluan utama.
Ia melibatkan bawang merah besar impot, bawang merah kecil India (termasuk bawang merah ros), cili merah, daging kambing biri-biri import bertulang, kacang kal (Australia), tomato, kelapa biji dan kelapa parut.- MalaysiaGazette
















