Kenderaan pacuan empat roda milik Exco kerajaan negeri dilarikan pencuri di rumahnya di Batu 21, Kulai, hari ini

KULAI – Kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik seorang Exco kerajaan negeri yang diparkir luar rumahnya di kawasan perumahan di Batu 21 di sini dicuri hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan dan sehingga kini kenderaan pacuan empat roda itu masih belum ditemui.

“Setakat ini, kita masih belum menjumpai semula kenderaan yang dilaporkan hilang itu dan tidak ada tangkapan yang dibuat.

“Di hadapan rumah mangsa dipasang kamera litar tertutup (CCTV) namun kedudukannya jauh dari lokasi kenderaan itu diletakkan di luar pagar rumah,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johoir, Datuk Mohd Jafni Md Shukor membuat hantaran dalam Facebook miliknya memaklumkan Toyota Hilux berwarna merah miliknya telah hilang.

“Dalam masa 180 saat atau tiga minit, kereta Toyota Hilux 2.8cc boleh dicuri tanpa kunci. Mohon bantuan untuk laporkan sekiranya terjumpa boleh hubungi 011-699 37976,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Mengulas lanjut, Seng Lee berkata, kawasan tersebut jarang berlaku kecurian kereta dan tidak ada kes yang dilaporkan berlaku pada tahun ini.

Kes kecurian tersebut disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast