PASIR GUDANG – Polis menahan tiga individu termasuk sepasang suami isteri selepas dipercayai terlibat sindiket pengedaran dadah melibatkan rampasan 20 bungkus syabu bernilai lebih RM700,000 dalam satu operasi khas di sekitar Seri Alam di sini pada 18 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Suptendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, dua lelaki tempatan dan wanita warga asing berusia 40 hingga 58 tahun itu diberkas Pasukan Tindakan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dalam serbuan yang bermula pukul 9.30 malam sehingga 2 pagi.
“Ketiga-tiga suspek dipercayai berperanan sebagai transporter dengan mengambil bekalan dadah berkenaan daripada sindiket di Kuala Lumpur.
“Sindiket yang aktif sejak Julai lepas itu didapati menggunakan kereta sebagai tempat penyimpanan dadah di mana setiap bungkusan dadah dijual sekitar RM30,000 untuk pasaran tempatan.
“Setelah mengambil bekalan, dadah tersebut kemudian dipercayai ditinggalkan dalam kereta bersama kunci kereta di sesuatu lokasi dan akan berhubung dengan individu lain untuk mengambil dadah-dadah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini hari ini.
Katanya, lelaki berusia 58 tahun dan isterinya berusia 45 tahun itu dipercayai merupakan dalang yang menggerakkan kegiatan transporter sindiket, manakala lelaki berusia 40 tahun itu pula merupakan pemandu yang mengambil bekalan dadah.
Menurutnya, ketiga-tiga individu tersebut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, namun negatif daripada sebarang jenis dadah hasil saringan ujian urin yang dilakukan.
Mohd Sohaimi berkata, pihaknya turut melakukan siasatan bagi mengesan individu lain yang dipercayai terlibat dalam sindiket berkenaan.
Turut dirampas katanya, sebuah kereta jenis Honda Accord dalam serbuan berkenaan dan kesemua individu direman selama 13 hari bermula 19 Oktober untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Seri Alam telah menahan seramai 1,770 individu atas pelbagai kesalahan dadah dengan rampasan dadah bernilai RM5.26 juta dan RM3.91 juta sitaan harta sindiket sejak Januari sehingga 27 Oktober lalu.- MalaysiaGazette
















