Pengurus Ikhwan Cafe milik GISBH didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas empat pertuduhan memperdagangkan manusia hari ini.

KOTA TINGGI – Pengurus Ikhwan Cafe milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan memperdagangkan manusia iaitu eksploitasi kerja paksa sejak Mei lalu.

Tertuduh, Mohamad Suhaimi Mohd Sani, 28, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan hakim, Hayda Faridzal Abu Hasan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Suhaimi bersama-sama dua suspek yang telah dituduh dan dua lagi suspek yang masih bebas didakwa dengan niat bersama memperdagangkan empat individu termasuk tiga wanita berusia 30 hingga 57 tahun bagi maksud eksploitasi kerja paksa dengan cara ancaman.

Kesalahan itu dilakukan di Ikhwan Resort Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar di sini sejak Mei hingga 1 Oktober lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Zahier Rosli.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan, berserta syarat tambahan seperti tidak boleh menganggu mangsa, melapor diri setiap bulan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang sebulan sekali dan menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah.

Sebutan semula kes dan penyerahan dokumen ditetapkan pada 28 November ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast