Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra pada kenduri rakyat di Perkarangan Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 1 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kes seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh penuntut senior.

Beliau menegaskan, budaya buli di universiti perlu dihentikan kerana ia menyebabkan penganiayaan kepada mangsa.

“Itu urusan polis, saya cuma boleh nasihatkan kepada umum. Jangan berlaku di sekolah, sekolah menengah, sekolah maahab tahfiz dan semua.

“Guru besar, pengetua, pihak taska dan pengetua kolej juga bertanggungjawab untuk melihat bagaimana hentikan budaya buli.

“Ia kerana terlalu banyak aduan. Yang itu (pelajar UPNM) kebetulan terbongkar di media sosial tetapi ini harus dihentikan, aniaya anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Temu Anwar di UPNM di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai perkembangan dan hasil perbincangan dengan Naib Canselor UPNM melibatkan dakwaan berlaku kes buli di institusi pengajian tersebut.

Sebelum ini, seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM dipercayai menjadi mangsa buli pelajar senior.

Individu itu difahamkan didera menggunakan seterika yang ditekap pada dadanya sehingga meninggalkan kesan lecur.

Difahamkan, perbuatan itu terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih yang bertugas ketika itu selepas menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Semalam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM, Sungai Besi yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh penuntut senior.

ATM dalam kenyataan turut memberitahu kejadian itu membabitkan pelajar kadet yang dibuli oleh seniornya menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular menerusi media sosial.

Pada 2017, negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.

Susulan itu, enam bekas penuntut UPNM dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

ATM masih jalankan siasatan kes pegawai kadet UPNM ditekap seterika

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast