ISKANDAR PUTERI – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak RM10 juta daripada keseluruhan peruntukan bagi pembangunan e-sukan menerusi Belanjawan 2025 akan diguna untuk membina stadium khusus dalam bidang sukan berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri memberitahu, baki peruntukan berkenaan pula akan digunakan untuk latihan dan aktiviti lain berkaitan e-sukan.
Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyalurkan peruntukan tersebut dalam Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu.
“Beliau (Anwar) telah umumkan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk memperkasakan ekosistem e-sukan, termasuk pembangunan bakat dan naik taraf arena e-sukan untuk tahun hadapan.
“Daripada jumlah itu, RM10 juta akan digunakan untuk bangunkan stadium khusus bagi e-sukan ini, manakala bakinya adalah untuk latihan dan juga lain-lain aktiviti yang berkaitan dengan e-sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Peringkat Akhir Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPLMY) di Kompleks Sukan EduCity di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.
Ahmad Zahid berkata, bidang e-sukan harus digalakkan kerana bukan sahaja dilihat sebagai satu sukan ‘indoor’ sebaliknya semakin berkembang dan boleh menjana pendapatan di masa akan datang.
“Ekosistem e-sukan semakin berkembang dan semua pihak perlu memanfaatkan potensi besar dalam industri ini yang mana pendapatannya dijangka berkembang pada Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) sebanyak 12.6 peratus, meningkat daripada RM26.4 juta pada 2024 kepada RM54.5 juta menjelang 2030,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara melihat potensi besar dalam e-sukan di negara ini boleh dikembangkan melalui program khas TVET untuk menggilap bakat belia tempatan.
Katanya, ini termasuk kemahiran seperti kewartawanan dan pengulas e-sukan, produksi penyiaran, pengurusan pasukan, kejurulatihan, penganjuran acara dan kerja teknikal.
“Sebagai contoh, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) telah menubuhkan TVET yang khusus untuk bidang e-sukan.
“Usaha ini adalah bagi melatih pelajar TVET dalam bidang e-sukan ini dan mereka juga buat kursus untuk pencipta kandungan iaitu untuk membuat beberapa kandungan perlawanan mengikut versi Malaysia.
“Di samping itu juga, mereka sedang membina stadium yang khusus untuk e-sukan ini,” katanya.
Beliau turut berharap Johor menjadi negeri seterusnya yang mengikut usaha Sarawak itu dalam bidang e-sukan.
Pada pertandingan akhir, seramai lebih 2,000 peminat sukan itu hadir bagi menyaksikan perlawanan MPLMY antara Selangor Red Giants (SRG) dan Vamos (VMS).- MalaysiaGazette