SEGAMAT – Polis menahan dua lelaki warga asing di Kilometer 138.3, Jalan Johor Bahru-Seremban di sini semalam dipercayai memberi rasuah RM1,000 kepada petugas polis.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, mereka cuba memberi rasuah bagi mengelak untuk diambil tindakan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau kebenaran tinggal di Malaysia.
“Kedua-dua suspek yang berusia 18 dan 30 tahun telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Daerah Segamat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, tangkapan berkenaan merupakan kali kelima yang dilakukan polis daerah ini bagi tahun ini.
“Kejayaan ini adalah hasil komitmen yang tinggi oleh petugas lapangan dalam melaksanakan kehendak pucuk pimpinan serta hasil jiwa raga kerja seara berterusan melalui program-program kerohanian daerah,” katanya.- MalaysiaGazette
















