Gambar hiasan.

KAJANG – Bunyi bising dan jeritan meminta tolong yang kedengaran dari sebuah bilik sewa oleh jiran tempatan membawa kepada penemuan seorang wanita warga asing dalam keadaan tidak sedar diri dan berlumuran darah di dalam bilik sewanya selepas disyaki dibunuh oleh rakan senegaranya disebabkan rasa cemburu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian itu berlaku pada awal pagi semalam di kawasan perindustrian di sini.

Katanya, lebih kurang 1.09 pagi polis menerima panggilan daripada seorang lelaki tempatan berumur 52 tahun berkenaan seorang perempuan warga Myanmar ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dalam bilik rumah sewa di kawasan perindustrian Bandar Teknologi Kajang dipercayai dibunuh.

“Hasil siasatan pihak polis di tempat kejadian menemui mangsa berusia 40 tahun itu dan telah disahkan meninggal dunia.

“Pemeriksaan lanjut polis telah menemui 12 kesan tikaman di seluruh tubuh badan diselimuti tilam toto di dalam bilik sewa mangsa tersebut,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Tambah beliau, maklumat daripada saksi kejadian iaitu jiran yang turut menyewa di bilik lain rumah tersebut menyatakan dia terdengar bunyi bising, suara mangsa menjerit meminta tolong.

“Kemudian suspek disyaki lelaki warga Myanmar dilihat melarikan diri dengan memegang senjata pisau turun dari bangunan rumah sewa berkenaan semasa kejadian itu.

Katanya, hasil bedah siasat yang dijalankan Pakar Patalogi dari Hospital Serdang pada jam 10 pagi Rabu telah mengesahkan mangsa mengalami kecederaan akibat tikaman benda yang tajam di abdomen sehingga menyebabkan kehilangan darah yang banyak.

“Bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Cawangan Jenayah Berat D9 IPD Kajang dibantu JSJ IPK Selangor telah berjaya menangkap lima suspek warga Myanmar yang terdiri daripada dua perempuan dan tiga lelaki.

“Kesemua suspek berumur lingkungan antara 28 hingga 45 tahun ditahan pada hari sama kejadian antara jam 1 tenghari hingga 6 petangĀ  di kawasan Bandar Teknologi dan Semenyih.

“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek di lokasi tangkapan turut berjaya membawa kepada penemuan dan rampasan senjata sebilah pisau dan pakaian daripada salah seorang saspek lelaki warga Myanmar yang ditahan polis.

“Siasatan lanjut polis mendedahkan punca kejadian adalah dipercayai akibat cemburu,” katanya lagi.

Kesemua suspek akan direman bagi membantu siasatan lanjut yang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan yang tidak kurang 12 sebatan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes ASP Mohamad Hafeez Hamzah di talian 019-6556536 bagi membantu siasatan lanjut polis.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast