Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya. Foto MOHD ADZLAN.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memandang serius insiden perbalahan yang berlaku di antara pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi dan pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor malam tadi.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, kedua-dua pemain tersebut tetap boleh dikenakan hukuman atau tindakan lanjut biarpun mereka hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali.

Foto FB FAM.

“Kita akan menunggu laporan penuh daripada Komisioner Perlawanan dan Penilai Pengadil sebelum mengambil apa-apa tindakan lanjut.

“Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM juga akan duduk berbincang untuk meneliti rakaman penuh video insiden berkenaan bagi mencadangkan tindakan lanjut.

“Memang kedua-dua pemain telah dilayangkan kad kuning sejurus insiden tersebut tetapi hukuman tambahan serta tindakan lanjut tetap boleh diambil jika ia dilihat perlu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sivasundaram turut menasihatkan para pemain supaya dapat mengawal emosi ketika di atas padang kerana apa juga tindakan mereka itu hanya akan mendatangkan masalah kepada diri sendiri jika dikenakan tindakan atau hukuman.

“Secara peribadi, saya melihat ia satu insiden yang serius apabila berlaku tindakan menumbuk dan juga mencekik yang dilakukan oleh kedua-dua pemain tersebut ketika insiden berkenaan.

“Apa pun kita akan tunggu laporan daripada Komisioner Perlawanan dan Penilai Pengadil bagi mengambil tindakan lanjut,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast