KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 101 kenderaan yang dipandu oleh warga asing di sekitar ibu negara, hari ini.
Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Raja Nursyuhaidah Raja Azmi berkata, tindakan itu dilaksanakan menerusi Operasi Pemandu Warga Asing Siri II atau Ops Pewa.
Katanya, menerusi operasi yang bermula jam 9 pagi hingga 3 petang Isnin itu, kenderaan-kenderaan yang dipandu warga asing di jalan raya telah diperiksa secara lebih ketat.
“Tindakan ini adalah sebahagian daripada usaha memastikan keselamatan dan pematuhan undang-undang di kalangan pemandu warga asing di jalan raya selaras adalah selaras dengan Operasi Khas Motosikal yang dilancarkan secara rasmi pada 1 November lalu yang memfokuskan penguatkuasaan terhadap penunggang motosikal di seluruh negara.
“Sepanjang operasi, 1,458 kenderaan diperiksa, dengan 243 tindakan diambil terhadap pelbagai kesalahan.
“JPJ turut berjaya membuat penyitaan terhadap 101 kenderaan termasuk termasuk 90 motosikal dipandu warga asing, lima lori dan enam kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut menyertai operasi itu adalah Ketua Unit Operasi serta pegawai dan anggota JPJ WPKL, Rahalim Mohamed.
Tambah beliau, antara kesalahan utama yang telah dikenal pasti pasukan operasi adalah tiada lesen memandu (209 kes), Lesen kenderaan Malaysia (LKM) tamat tempoh (83 kes), dan tiada insurans kenderaan (47 kes), enam kes salah guna lesen memandu dan sebanyak 232 kesalahan teknikal dikesan JPJ .
Menurut Raja Nursyuhaidah, pemeriksaan turut melibatkan 78 pemandu warga asing dari beberapa negara, termasuk Pakistan (30 orang),15 warga India, Indonesia (19), Bangladesh (9), dan Myanmar (4 orang) dan seorang warga Iran dalam operasi tersebut.
“Langkah ini diambil secara serius dan ketat bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang melibatkan pemandu warga asing yang tidak mematuhi undang-undang.
“Pada masa sama, JPJ mengingatkan penunggang dan pemilik motosikal di seluruh negara agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, termasuk memakai topi keledar, mempunyai lesen memandu dan LKM sah, serta mematuhi peraturan lalulintas yang lain,’ katanya lagi.-MalaysiaGazette
















