KUALA LUMPUR – Pelakon, Ruhainies mengambil usaha positif untuk melengkapkan misi berselawat sebanyak 1,000 kali sehari selama 40 hari.
Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas turut mengakui sudah memasuki hari ke-18 menggerakkan misi itu.
Dia juga mengajak orang ramai sama-sama melakukan amalan tersebut.
“Saya dalam misi selawat 1,000 sehari selama 40 hari. Hari ini baru hari ke-18. Jom buat sama-sama. Kita perempuan kalau ‘cuti’ pun boleh selawat,” kata wanita berusia 32 tahun menerusi perkongsian dalam Insta Story.
Hantaran tersebut dibuat selepas seorang pengikut laman sosialnya bertanya mengenai zikir yang diamalkan aktres terbabit.
Menerusi perkongsian itu, Ruhainies menunjukkan gambarnya menyarung tasbih digital berwarna hitam di jarinya.
Malah Ruhainies turut mengakui terpesona dengan kecantikan tasbih buatan khas itu.
“Saya obses sangat dengan tasbih digital custom made ini, cantikkan?” ujarnya.
Ketika ini, pelakon filem Roh 100 Hari itu berdepan kes khalwat yang membabitkan dirinya dengan pelakon, Aliff Aziz pada Mac lalu.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan dua hari bermula 20 Feb 2025 untuk perbicaraan kes mereka yang didakwa atas pertuduhan berkhalwat di sebuah unit kondominium. – MalaysiaGazette
















