Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kota Taiping, Taiping awal pagi tadi. Foto Ihsan JBPM Perak

TAIPING – Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Jalan Kota Taiping, di sini awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.11 pagi.

Menurutnya, sejurus menerima panggilan tersebut, sepasukan tujuh anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang terbabas di bahu jalan.

“Terdapat dua mangsa iaitu pemandu, seorang lelaki berusia 69 tahun yang disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) manakala seorang wanita berusia 56 tahun tersepit di sebelah tempat duduk pemandu dan cedera di bahagian dada.

“Tindakan ketua operasi mengarahkan anggota mengeluarkan kedua-dua mangsa dan diserahkan ke pihak Polis dan KKM untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Sharif Aziz itu tamat sepenuhnya jam 2.50 pagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast