KUALA LUMPUR – “Melihat keadaan semua mangsa dalam ketakutan, saya terus bertindak pantas untuk segera menyelamatkan mereka, kerana saya pun ada anak”.
Itu tindakan berani seorang Tentera Darat Malaysia (TDM), Staf Sarjan Mohd Nor Khalid yang nekad terjun ke dalam tasik tadahan hujan, di Taman Lautan Samudera, Puncak Alam, Selangor pada Ahad lalu.
Pada mulanya, beliau khuatir untuk masuk ke dalam air namun bersyukur kerana diberikan kekuatan bagi menyelamatkan empat remaja berusia 13 tahun yang hampir lemas selepas sampan dinaiki mereka terbalik.
“Sewaktu kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu, Allah gerakkan hati saya untuk cuba menyelamatkan kesemua remaja itu sebaik menerima whatsapp kejadian itu dan mendapati mereka sudah berada di dalam tasik itu hampir 45 minit.
“Malah melihat keadaan mereka yang tidak bermaya dan pasukan penyelam masih belum tiba, saya memaklumkan orang ramai di situ untuk terjun menyelamatkan mereka.
“Mereka menghalang saya untuk berbuat demikian atas faktor bahaya tapi saya tawakal dan menyelamatkan kesemua mangsa kerana saya pun ada anak, alhamdulilah dipermudahkan,” katanya.
Mohd Nor berkata demikian selepas Majlis Pemakaian Pangkat daripada sarjan ke staf sarjan oleh Panglima Tentera Darat (PTD) di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.
Menceritakan sewaktu kejadian, dia yang bertugas sebagai anggota Pasukan 41, Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) di Kem Sungai Buloh berkata, mangsa terpaksa berpaut pada bahagian belakang badannya kerana mereka tidak pandai berenang.
“Apabila masuk ke dalam air dan mendekati mereka, saya tanya pandai berenang? tetapi semua tidak pandai dan saya minta mereka ikut arahan saya sewaktu kejadian.
“Saya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membawa kesemua mangsa ke tebing dengan berenang sejauh 45 meter untuk seorang demi seorang dan mereka juga peluk dibelakang saya.
“Walaupun penat ketika cuba menyelamat mangsa ketiga, alhamdulilah saya diberi kekuatan untuk terus berenang ke mangsa seterusnya hingga kami semua selamat ke tebing,” jelasnya.
Pada masa sama, bapa kepada empat cahaya mata itu tidak menyangka kenaikan pangkat diterimanya pada hari ini dan ia merupakan penghargan bermakna memandangkan beliau baharu menyambut ulang tahun kelahiran ke-40 semalam.
Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, pengiktirafan kepada Mohd Nor adalah sebagai wira pasukan TDM atas keberanian luar biasa yang dipamerkan.
“Ini tindakan yang mencerminkan satu semangat keperwiraan oleh seorang anggota TDM dalam menggalas tanggungjawab sosialnya demi menyelamatkan nyawa orang awam pada saat kecemasan.
“Beliau juga berani mengambil risiko dengan keadaan pada ketika itu dan Alhamdulillah kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan ianya memerlukan satu sifat keberanian untuk mengambil tindakan yang secara spontaneous (spontan).
“Sikap dan tindakan beliau itu harus dicontihi kepada setiap anggota TDM lain dan diharapkan dapat memberi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette