KUALA LUMPUR- Filem Kahar: Kapla High Council telah berjaya RM 1 juta di tayangan awal dan hari pertama.
Ia mula menemui penonton di pawagam menerusi tayangan awal pada 27 November lalu manakala semalam merupakan tayangan rasmi.
Filem ini diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama GSC, HM Entertainment dan ZAK Capital. Bukan sekadar mempertaruhkan jalan cerita dengan babak-babak yang mengundang keterujaan, filem berdurasi 102 minit ini mengangkat isu buli yang berlaku di kalangan remaja.
Ia turut membicarakan isu kritikal seperti kepentingan institusi kekeluargaan kepada pembangunan diri seseorang dan menekankan mesej kekerasan bukanlah jalan penyelesaian.
Penerbit Eksekutif Kahar: Kapla High Council merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berharap permulaan yang baik itu dapat membawa momentum positif yang berterusan.
“Watak Kahar sekali lagi berjaya mencuri perhatian penonton dan bagi kami Kahar bukan sekadar watak, tetapi simbol kepada mesej anti keganasan,” katanya dalam satu kenyataan.
Watak Kahar dilakonkan Amir Ahnaf digandingkan dengan pelakon Aedy Ashraf, Sky Iskandar, Fadhli Masoot, Fazziq Muqris, Khenobu, Thompson, Husyairi Hussain dan Hasnul Rahmat.
Filem berkenaan diarahkan Razaisyam Rashid, manakala skrip ditulis oleh ‘creator’ Project: High Council, Anwari Ashraf bersama beberapa penulis lain, filem Kahar: Kapla High Council. -MalaysiaGazette