Aiman Athirah (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Program Bersamamu Johor di Kompleks Sukan Educity Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini. UTUSAN/KOSMO.

ISKANDAR PUTERI – Penduduk di kawasan banjir khususnya di Kelantan dan Terengganu yang terjejas teruk ketika ini perlu berpindah apabila diarahkan berbuat demikian.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, ini bagi memastikan mereka selamat dengan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Saya difahamkan suasana agak rumit jadi dengarlah arahan pihak berkuasa.

“Jika diarahkan berpindah ke PPS, pindahlah sebab mereka perlu menjalankan tugas-tugas menyelamat itu dengan kadar yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Bersamamu Johor di Kompleks Sukan Educity di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.

Selain itu katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedia untuk menggerakkan aset dan keanggotaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sokongan ke dua negeri tersebut paling terkesan akibat bencana alam itu pada masa ini.

Langkah tersebut katanya, akan diambil memandangkan situasi banjir di negeri di Pantai Timur itu terlampau dinamik dan bantuan diperlukan amat mendesak.

“Bagi situasi banjir di Kelantan dan Terengganu, kita akan menggerakkan kekuatan penuh JBPM di negeri tersebut selain bersedia menggerakan bantuan dari luar negeri ini apabila keadaan semakin mendesak.

“Selain dua negeri Pantai Timur itu, tujuh negeri lain turut terkesan banjir ketika ini. Jadi, kita akan memantau situasi banjir di seluruh negara dengan lebih dekat bagi memastikan bantuan segera dapat digerakkan,” katanya.

Aiman Athirah berkata, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) turut digerakkan ke lokasi terkesan banjir bagi memberi bantuan sokongan.

“SWCorp akan berperanan membersihkan saliran supaya tidak ada longkang dan parit yang tersumbat disebabkan sampah sarap yang dihanyutkan air hujan dan banjir,” ujarnya.

Semalam, KPKT membekukan cuti beberapa agensi di bawahnya serta-merta susulan bencana banjir yang melanda di beberapa negeri ketika ini.

Menterinya, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, KPKT antara barisan hadapan yang turut terbabit dalam bantuan mangsa banjir.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cuti semua anggota Jemaah Menteri dibekukan susulan bencana banjir yang melanda negara ketika ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here