Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Digital Nasional Bhd (DNB) diarahkan membentangkan rancangan perniagaannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysian (MCMC) pada minggu depan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan arahan itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Jelas beliau, ia susulan kelewatan projek rangkaian kedua 5G yang pernah dilaporkan sebelum ini.

“DNB memohon sehingga Januari tapi Perdana Menteri minta supaya diberikan pada bulan ini juga. Jadi Perdana Menteri dalam mesyuarat pada hari ini telah memohon maaf kepada semua yang hadir ataupun beliau menjelaskan kenapa beliau memohon maaf,  beliau merasakan bahawa dua-dua inisiatif ini seharusnya bergerak dengan lebih pantas,” katanya ketika sidang media, di sini.

Sementara itu Fahmi berkata, MyDigital ID pula diarah untuk mengemukakan rancangan perniagaan bagi meningkatkan jumlah pendaftaran yang diterimanya dalam tempoh dua minggu.

Jelasnya, ini kerana Perdana Menteri kecewa dengan jumlah pendaftarannya yang masih rendah iaitu sebanyak 1.319 juta setakat 5 Disember lalu.

“Jadi isu dengan MyDigital ID berkait langsung dengan keperluan untuk usaha ini dilipat-gandakan. Dan satu keputusan akan dibuat mengenai apakah yang perlu dilakukan untuk meningkatkan jumlah pengguna dan mereka yang telah mendaftar bagi sistem MyDigital ID,” katanya.

Semalam, Anwar melahirkan kekecewaannya dengan kelewatan projek MyDigital ID dan rangkaian kedua 5G.

Katanya, pelaksanaan MyDigital ID terlambat selama setahun manakala rangkaian 5G kedua masih tertangguh kerana rundingan untuk projek itu tidak mendapat respons positif daripada DNB dan syarikat telekomunikasi.

MyDigital ID ialah satu inisiatif kerajaan bagi pengesahan identiti secara selamat dan sah untuk pengguna dalam talian yang dibangunkan sejak 2016. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast