KUALA LUMPUR – Sekolah Sri KDU Kota Damansara telah menganjurkan muzikal Arabian Nights: The Aladdin Musical Production dan berjaya mengumpul dana sebanyak RM38,505 untuk membantu rumah kebajikan tempatan.
Persembahan muzikal itu berjaya menjadi salah satu platform terbesar bagi sekolah terbabit mengumpul dana dengan penyertaan 383 pelajar yang turut mendapat sokongan yang menggalakkan daripada ahli keluarga dan komuniti setempat.
Selain kostum berwarna-warni, dekorasi pentas yang mempesonakan dan watak Genie yang mencuit hati, barisan pelakon yang lain juga berjaya menghidupkan cerita ini dengan persembahan yang penuh bertenaga.
Selain unsur kasih sayang, persahabatan dan kepercayaan antara satu sama lain, pementasan yang bertemakan magik, romantik dan pengembaraan itu berjaya menghiburkan hati para hadirin.
Persembahan muzikal yang memukau itu melibatkan penyertaan 383 pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun yang memainkan peranan yang mengagumkan termasuk pelakon, penari, ahli koir dan pembantu di belakang tabir seperti kru pentas, pengurus prop dan pasukan yang menguruskan segala keperluan termasuk makanan dan minuman.
Muzikal turut menampilkan Sri KDU String Orchestra yang terdiri daripada 37 ahli yang baru-baru ini telah memenangi anugerah dan mendapat pengiktirafan antarabangsa di sebuah pertandingan di Hong Kong.
Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Sri KDU, Shamsiah Anverdeen berkata, apa yang menjadikan pementasan itu istimewa ialah bagaimana ia menggabungkan pelbagai aspek pembelajaran, kreativiti, tanggungjawab dan belas kasihan serta meningkatkan kualiti pementasan muzikal tempatan yang bertaraf antarabangsa.
“Setiap pelajar berjaya memainkan peranan mereka, tidak kira di atas pentas atau di belakang tabir, dan dedikasi mereka benar-benar menghidupkan cerita ini dalam persembahan yang penuh bermakna ini. Mereka benar-benar menjadikan cerita ini milik mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai sebahagian daripada komitmen sekolah terhadap kebajikan dan kerja-kerja amal, Arabian Nights berjaya mengumpul sebanyak RM38,505 menerusi jualan tiket.
Bersama sumbangan yang diterima melalui Karnival Merdeka jumlah dana yang berjaya dikumpul mencecah sebanyak RM77,000.
Sumbangan akan disalurkan kepada Pusat Jagaan Titian Kaseh dan Rumah HOPE bagi membeli barangan keperluan dan kegunaan pusat berkenaan. – MalaysiaGazette