KLUANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar akan menandatangani perjanjian Zon Ekonomi Johor-Singapura (JS-SEZ) bersama kerajaan Singapura, Isnin ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz berkata, perjanjian itu bukan sahaja akan mengubah landskap negara tetapi membawa kepada perkembangan ekonomi di Johor.
Menurut beliau, JS-SEZ akan memberi peluang ekonomi menjadi lebih cerah selain perjalanan harian antara Johor dan Singapura akan menjadi lebih mudah.
“Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Johor, tetapi juga kepada seluruh Malaysia,” katanya berucap dalam Majlis Perjumpaan Usahawan Bersama Menteri Besar Johor di Majlis Daerah Simpang Renggam di sini hari ini.
Beliau turut melontarkan pertanyaan kepada rakyat Johor sama ada sudah bersedia untuk memanfaat peluang itu yang akan mengubah ekonomi negara ini.
Jelasnya, ini kerana jika tidak membuat persediaan, pihak lain mungkin akan merebut peluang tersebut.
“Dalam bidang ekonomi, mereka yang cepat akan mendapat keuntungan, sementara yang lambat mengalami kerugian.
“Kita di Johor mempunyai kelebihan unik, di mana agensi kerajaan negeri seperti Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) menyediakan pelbagai sokongan untuk usahawan,” ujarnya.
Onn Hafiz menekankan bahawa sebagai usahawan di Johor, adalah penting untuk memanfaatkan peluang perniagaan yang ada.
Dengan peningkatan Zon Ekonomi Johor-Singapura, Menteri Besar Johor itu meramalkan negeri ini akan menjadi tumpuan global, menarik syarikat-syarikat antarabangsa, terutama dari Jepun dan Korea untuk melabur di Johor serta memacu pertumbuhan ekonomi tempatan.
Justeru, Onn Hafiz menyeru usahawan supaya meningkatkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas.
Sebagai contoh katanya, jika sebuah kedai kek mencatatkan pendapatan bulanan RM10,000 sebelum ini, justeru pada tahun ini perlu menyasarkan peningkatan kepada RM15,000.
Onn Hafiz percaya melalui penetapan indikator prestasi yang jelas akan dapat mendorong perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau juga menggalakkan usahawan untuk menggunakan dana dan sumber yang disediakan kerajaan seperti pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Negara (TEKUN) untuk meningkatkan mutu dan promosi produk.
Termasuk katanya, meningkatkan daya saing serta nilai tambah produk melalui reka bentuk dan pemasaran yang lebih baik.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, Bank Rakyat menyedia pinjaman berfaedah rendah sebanyak RM100 juta kepada usahawan tempatan dengan pinjaman bawah RM50,000 diberikan dengan faedah kosong peratus manakala pinjaman RM50,000 hingga RM500,000 mempunyai kadar faedah tahunan 4.25 peratus.- MalaysiaGazette