KUALA LUMPUR – Festival Raya ikonik, Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya (ABxFGR 2025) kembali lagi pada tahun ini dengan membawakan lebih kemeriahan masuk tahun ke-4 kali ini.
Menurut Pengarah Urusan Absolut Events & Management, Nur Ali Nadzwan, acara raya ini sudah diadakan tiga tahun berturut-turut dengan tarikan luar biasa saban tahun.
Katanya, selama dua tahun berturut-turut, ABxFGR telah menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) anjuran bersama My Events International dan Absolut Events & Management.
“Kita harap dapat cipta rekod baharu bagi tahun 2025. ABxFGR sentiasa tampil sebagai festival raya paling berprestij di Malaysia, di samping memberikan impak positif pada ekonomi negara dan membuka peluang perniagaan yang baik kepada usahawan terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana,” katanya dalam kenyataan.
Kata Nur Ali lagi, skala festival raya diperbesarkan dengan menambah sebuah lagi dewan pameran untuk menempatkan lebih banyak tapak reruai. Untuk tahun 2025, 700 tapak reruai telah habis dijual.
“Kita sasarkan RM25 juta hasil keuntungan daripada pempamer di samping menarik seramai 2 juta pengunjung bagi menjadikan ABxFGR 2025 lebih meriah,” ujarnya.
Terdapat pelbagai aktiviti sampingan seperti Money Chamber dan jualan Happy Hour untuk disertai oleh para pengunjung, juga menampilkan barisan selebriti ternama tanah air serta hiburan tanpa henti selama 66 jam berlangsung.
“Tarikan utama lain bagi acara ABxFGR ialah Mini Absolut FoodFest dengan menikmati pelbagai makanan minuman daripada lebih 50 vendor makanan untuk berbuka puasa dan sahur sepanjang acara berlangsung.
“Kita juga berbesar hati melaksanakan program tanggung jawab sosial dengan mengambil sebahagian hasil keuntungan acara untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir, ibu tunggal dan anak yatim bagi bantu persediaan untuk Aidilfitri,” katanya.
Festival raya ini akan bermula pada 21 Mac depan bermula jam 12 tengah hari hingga 24 Mac jam 6 pagi, 66 jam tanpa henti di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), KL. – MalaysiaGazette