KUANTAN – “Anak saya tiada selera makan sebelum datang bersunat ni, nasi pun tak habis pagi tadi,” kata Zuria Ghazali, 41 ketika ditemui dalam Program Khatan Perdana di Masjid Jamek Beserah, di sini pagi ini.
Ibu kepada sepasang anak itu memberitahu, anak bongsunya yang berusia 11 tahun menyuarakan rasa ragu-ragu dan ingin membatalkan hasrat untuk berkhatan malam tadi.
“Tapi saya yakinkan dia dan kami datang awal hari ini sebab dengar ramai yang datang. Tapi anak saya tu memang berdebar la,”tambahnya lagi sambil tersenyum.
Namun, kata Zuria, anaknya bernama Muhammad Ziyad Zaidi yang merupakan peserta ke tujuh berjaya melalui proses berkhatan yang berlangsung kira-kira 20 minit ditemani suaminya.
Ketika tinjauan MalaysiaGazette di sini pagi ini, program tersebut bermula seawal jam 8 pagi dan disertai 40 orang kanak-kanak yang hadir ditemani ibu-bapa masing-masing.
Lain pula bagi peserta pertama program itu iaitu Muhammad Ammar, 10 yang meluahkan rasa lega setelah selesai bersunat.
“Sakit sikit je, tapi saya lega lah dah lepas bersunat,” katanya sambil ditemani bapa, Muhammad Shahrizan Md Yusof, 39.
Muhammad Shahrizan berkata, anak tunggal lelakinya itu tidak rasa berdebar sebelum program, sebaliknya rasa teruja kerana sepupunya juga turut menyertai program.
Bapa kepada empat itu memberitahu, dia akan menjaga anaknya itu semasa tempoh berpantang nanti di rumah mereka di sekitar Beserah.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Jamek Beserah, Haji Abdul Aziz Mohamad Noh berkata, program julung kali diadakan itu disertai kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun yang tingal di sekitar kawasan tersebut.
“Alhamdulillah. Sambutan yang sangat memberangsangkan, kita bersyukur tahap kesedaran ibu-bapa memang bagus untuk melaksanakan perkara yang wajib ini.
“Untuk maklumat peserta hanya perlu membayar yuran sebanyak RM50 sahaja untuk menyertai program hari ini kerana terdapat sumbangan dan tajaan daripada pihak kerajaan negeri, masjid dan klinik Mya,” katanya.
Selain berkhatan beramai-ramai, terdapat juga kaunter saringan kesihatan percuma turut disediakan dalam program ini selain pengisian Ceramah Kesihatan Wanita. – MalaysiaGazette