Dr. Mohd Zamri Ibrahim

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT), melalui Pusat UMT Ihsan telah menganjurkan penyampaian dermasiswa dan penghargaan zakat korporat bagi meraikan 1,024 penerima dan penyumbang zakat terpilih.

Inisiatif dari Pusat UMT Ihsan ini bukan sahaja memberi peluang kepada pihak pengurusan tertinggi UMT menyantuni pelajar-pelajar yang miskin cerdik, malah turut menghargai rakan korporat yang menyumbang danaTabung Zakat UMT.

Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, sumbangan zakat berjumlah RM632,000.00 ini adalah sumbangan agensi-agensi korporat yang sentiasa bergandingan dengan UMT dalam memastikan anak-anak asnaf pelajar sentiasa terjaga demi kecemerlangan ilmu.

Tambahnya, UMT sentiasa memastikan setiap sen daripada zakat yang disumbangkan diuruskan dengan penuh amanah dan integriti.

Beliau juga mengingatkan pelajar agar dapat memanfaatkan sumbangan yang diterima ini sebaik mungkin agar dapat menjadi insan yang berjaya serta dapat memberi kembali kepada masyarakat suatu hari nanti.

UMT juga komited dalam memastikan sumbangan zakat dapat memenuhi keperluan asnaf.

Dana zakat saban tahun diagihkan dengan pelbagai jenis skim dermasiswa, antaranya, yuran pengajian, bantuan sara hidup dan juga bantuan bencana alam seperti banjir.

Pelbagai jenis dermasiswa ini dijenamakan mengikut nama agensi penyumbang bagi menghargai sokongan agensi korporat terbabit malah menjadi citra kepada agensi tersebut.

Menurutnya, Bantuan Sara Hidup berjumlah RM500 seorang disalurkan melalui dana zakat daripada Lembaga Tabung Haji, Maybank Islamic Berhad, dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.

Seramai 681 orang telah menerima bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban pelajar asnaf dalam menghadapi kos sara hidup mereka.

Bantuan Sara Hidup Berjumlah RM1,000 seorang disalurkan melalui dana zakat daripada Dana Asy-Syakirin Petronas.

Seramai 100 penerima snaf telah mendapat manfaat daripada bantuan ini memerlukan sokongan lebih besar dalam menghadapi kos kehidupan seharian.

Manakala Bantuan Sara Hidup berjumlah RM500 seorang disediakan melalui dana zakat Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dengan 100 orang menerima bantuan ini, yang dibahagikan kepada dua saluran agihan iaitu RM250 disalurkan ke akaun simpanan penerima, dan baki ke akaun unit amanah PHB penerima.

Bantuan ini adalah untuk menyokong kestabilan kewangan pelajar asnaf dan memberi peluang kepada mereka untuk melabur dalam instrumen kewangan yang dapat memberi pulangan di masa hadapan.

Bantuan Bencana Banjir berjumlah RM500 seorang disalurkan melalui dana zakat Etiqa Family Takaful Berhad.

Seramai 143 orang menerima manfaat bantuan ini untuk meringankan beban mereka yang terjejas akibat bencana banjir dan memberikan sokongan bagi memulihkan kehidupan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here