SHAH ALAM – Peranan Malaysia sebagai Kepengerusian ASEAN pada tahun ini bakal memberi impak besar kepada Selangor terutama dalam lonjakan industri sektor pelancongan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia kerana negeri itu bakal menjadi pintu masuk utama buat delegasi dan tetamu antarabangsa menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang.
Beliau berkata, semua pihak khususnya penjawat awam perlu menggembleng sepenuh tenaga bagi memastikan persiapan Selangor berada pada tahap terbaik terutamanya dari segi infrastruktur.
“Kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan sebagai Pengerusi ASEAN akan melibatkan 800 program di mana di Selangor akan menjadi pintu masuk utama melalui KLIA dan Lapangan Terbang Subang.
“Maknanya Selangor akan menjadi first impression buat delegasi yang datang di mana soal kebersihan dan infrastruktur perlu berada dalam keadaan baik untuk menyambut kedatangan tetamu.
“Kita tidak mahu apabila pertama kali tengok Malaysia terdapat jalan tidak sekata dan papan yang tidak jelas yang turut memberi impak kepada negara dan rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Amanat Tahun Baharu 2025 Menteri Besar, di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, sasaran lapan juta pelancong tempatan dan luar negara melawat negeri itu sempena Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025 mampu dicapai kerana negeri itu memiliki banyak kekayaan warisan budaya dan pengalaman pelancongan kepada pelancong.
Menurut Amiruddin, persepsi bahawa kunjungan pelawat luar ke Selangor hanya untuk menghadiri kursus dan mesyuarat perlu dibuang.
Sebelum ini, Kerajaan Selangor menyasarkan potensi nilai transaksi RM11.7 bilion melalui TMS 2025 di mana sasaran itu boleh dicapai dengan mengambil kira persiapan rapi dari segi perancangan aktiviti, program dan infrastruktur pelancongan sekali gus mampu menerima kehadiran lapan juta pelancong sebagaimana sasaran.
Sementara itu, Amirudin turut memberi jaminan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 bakal menjadi tuan rumah yang bakal diingati dalam sejarah penganjurannya.
Apatah lagi, kata beliau, kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah adalah pada 1998 iaitu selepas 28 tahun.
Justeru, menurutnya, kerajaan negeri perlu meneliti secara keseluruhan tentang persediaan Sukma 2026 dari awal agar penganjuran berjaya dengan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA 2026. – MalaysiaGazette