KUALA LUMPUR – Peserta dari Cheras, Md Darapi Awang, 55, telah dinobatkan sebagai juara pertandingan memancing Cabaran Joran Kuala Lumpur di Taman Tasik Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur semalam.
Kejayaannya menaikkan ikan keli seberat 12.180 kilogram (kg) membolehkan dia memenangi hadiah wang tunai RM5,000 pada pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000.
Md Darapi menyifatkan tuah buatnya menggunakan cacing disambar ikan keli yang memaksa dia mengambil masa lebih enam minit sebelum dapat menaikkan ikan tersebut.
Beliau yang bekerja sendiri itu telah berkecimpung menyertai pertandingan memancing ini selama dua tahun akhir rezekinya kali ini berjaya membuahkan hasil.
“Tak sangka menang pulak padahal kehadirannya hanya suka-suka untuk sertai pertandingan ini, alhamdulilah menang pula” ujarnya.
Hadiah kepada pemenang telah disempurnakan Ketua Unit Sukan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairul Eswan Ishak.
Pertandingan anjuran DBKL dengan kerjasama JoranKL itu merupakan salah satu acara yang disediakan kepada warga kota sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 bertemakan ‘Wilayah Persekutuan Kita’ menyaksikan sebanyak lebih 500 ekor ikan pelbagai spesis berjaya dinaikkan peserta.
Tempat kedua dimenangi Muhammad Nor Iman Mohd Adnan, 20, dari Kajang apabila berjaya menaikkan ikan keli seberat 11.865 kg untuk menerima hadiah wang tunai RM2,000 manakala tempat ketiga menjadi milik Muhd Musrikin Aknan, 28, dari Klang, Selangor juga menaikkan keli seberat 11.862 kg menerima RM1,000.

Sementara itu, Cabaran Joran Kuala Lumpur itu disertai lebih 600 kaki pancing dari Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Perak dan Pahang.
Majlis perasmian bagi pertandingan ini telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
Sebagai usaha untuk menjadikan Cabaran Joran Kuala Lumpur sebagai acara tahunan, DBKL telah merancang empat siri pertandingan sepanjang tahun 2025, iaitu bersempena Hari Pekerja (Mei), Bulan Kemerdekaan (Ogos) dan Hari Sukan Negara (Oktober), termasuk edisi sulung yang berlangsung hari ini. – MalaysiaGazette
















