KUALA LUMPUR – UKM Specialist Centre (UKMSC) mengukuhkan lagi mutu perkhidmatannya kepada para pelanggan apabila diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi oleh Kementerian Kesihatan baru-baru ini.
Pengiktirafan itu memperakui komitmen UKMSC dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi yang mendukung keperluan penyusuan susu ibu sejajar dengan Baby-Friendly Hospital Initiative (BFHI) yang digariskan oleh World Health Organization (WHO) dan The United Nations Children’s Fund (UNICEF).
Pengarah Perubatan UKMSC, Prof. Madya Datuk Dr. Badrul Akmal Hisham Md. Yusoff berkata, ia merupakan pencapaian besar yang mencerminkan usaha keras dan komitmen UKMSC dalam menyokong penyusuan susu ibu selaras dengan piawaian badan antarabangsa.
“Saya bersyukur dengan pengiktirafan ini kerana ia sekali gus menandakan UKMSC telah memenuhi piawaian yang ditetapkan dan melepasi syarat-syarat ketat yang telah digariskan oleh BFHI.
“Ini termasuk menyediakan persekitaran terbaik untuk menyokong ibu menyusu seperti mempraktikkan Dasar 10 Langkah ke arah Penyusuan Susu Ibu yang Berjaya,” katanya pada Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Hospital Rakan Bayi di UKMSC, Cheras baru-baru ini.
Pada majlis itu, Ketua Penolong Pengarah (Kanan) dari Cawangan Pemakanan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL), Nor Azah Ahmad menyampaikan sijil tersebut kepada Dr. Badrul Akmal Hisham.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Datuk Dr. Azmi Baharudin; Ahli Lembaga Pengarah UKMSC; Azra Kamarudin, Ketua Pegawai Operasi UKMSC,; Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali; Pengerusi Jawatankuasa BFHI UKMSC, Prof. Madya Dr. Ixora Kamisan @ Atan dan Penolong Pengarah (Pemakanan) Pusat Laktasi Kebangsaaan, Mohd Khairulnizam Baharum.
Dr. Muhammad Naqib berkata, UKMSC akan terus berusaha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada ibu dan bayi bukan sahaja dari segi rawatan tetapi juga dalam aspek penjagaan menyeluruh seperti penyediaan maklumat, sokongan emosi, serta latihan kepada kakitangan untuk membantu ibu menyusu dengan lebih efektif.
Prof. Madya Dr. Ixora Kamisan yang juga Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi UKMSC (O&G) pula berkata, sebagai sebahagian daripada pasukan yang memacu inisiatif itu, pihaknya berbangga dengan pengiktirafan itu.
“Penyusuan susu ibu adalah asas kepada permulaan hidup yang sihat, dan kami berusaha memastikan UKMSC terus menjadi peneraju dalam usaha ini,” katanya.
Menurut Pengurus Ketua Jururawat UKMSC, Maizun Yaacob, pengiktirafan berkenaan telah menyuntik semangat kepada kakitangan jururawat untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi kesejahteraan ibu dan bayi.
“Kami akan terus mengekalkan perkhidmatan terbaik dan memastikan setiap pesakit mendapat sokongan sepenuhnya,” tambahnya. – MalaysiaGazette