Adnan mengambil buluh dari perkampungan Orang Asli di Segamat untuk dijadikanlemang bagi Ramadan ini

KLUANG – Ketika orang ramai merungut dengan kenaikkan harga santan yang mungkin akan menjejaskan kos makanan berasaskan santan sepanjang bulan Ramadan dan Syawal ini.

Peniaga kedai Lemang Sarawak berhampiran Bulatan Mardi, di sini, mengambil pendirian berbeza apabila mengekal harga jualan seperti tahun-tahun sebelum ini kerana kenaikkan salah satu bahan asas membuat lemang iaitu santan hanya menokok sedikit modal asas.

Adnan Ibrahim, 56, berkata, selepas dinilai harga modal asas pembuatan lemang, hanya sedikit kenaikkan berlaku dan tidak berhasrat untuk menaikkan harga jualan lemangnya.

Katanya, harga beras pulut dan buluh tiada kenaikan dan hanya santan sahaja yang naik antara RM2 hingga RM3 satu kilogram menyebabkannya tidak akan menaikkan harga jualan lemang.

“Memang terdapat pengurangan keuntungan apabila tidak menaikkan harga jualan lemang pada tahun ini kerana kenaikan kos santan sekitar RM300 hingga RM400 untuk 1,000 batang lemang.

“Namun anggap sahaja ia sebagai sedekah kerana apa yang penting adalah dapat memenuhi pelanggan yang sememangnya menjadikan lemang sebagai salah satu hidangan wajib ketika Ramadan dan Syawal nanti,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurut Adnan, sudah 20 tahun dia mengusahakan lemang mengikut resepi diperturunkan oleh ayahnya yang tidak pernah diubah bagi mengekalkan rasa dan kelembutannya.

Ujarnya, untuk mendapatkan buluh, dia akan ke Chaah atau Segamat bagi mendapatkan bekalan daripada penduduk di perkampungan Orang Asli di sana.

“Alhamdulillah, sudah kira-kira 15 tahun saya mendapatkan bekalan buluh dari sana dan ia amat sesuai untuk dijadikan buluh lemang.

“Saya juga tetap menggunakan cara tradisional iaitu memasak lemang dengan cara membakar menggunakan kayu api kerana ia lebih sedap berbanding cara lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast