Timbalan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 03 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi akan mewujudkan platform yang membolehkan pemilik akaun memfailkan aduan bagi mencabar tindakan menurunkan sebarang kandungan atau entri di media sosial masing-masing.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, platform itu antara lain membolehkan pemilik akaun memfailkan pembelaan dan alasan bagi mempertahankan setiap kandungan atau entri masing-masing daripada diturunkan.

“Ia bertujuan memastikan semua kuasa berkenaan penurunan sebarang kandungan di media sosial tidak berpusat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), sekali gus mewujudkan elemen semak imbang.

“Ini sekali gus membolehkan sebarang keputusan MCMC dicabar di dalam tribunal,” katanya pada Sesi Pertanyaan bagi Soalan Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang), Teo berkata, MCMC akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras salah laku dan jenayah dalam talian.

Menurut beliau, kerjasama turut dijalinkan dengan Kementerian Kesihatan bagi membanteras penjualan produk tidak mendapat kelulusan di platform e-dagang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast