Suasana di dalam Terminal ketika Menteri Pengangkutan membuat lawatan kerja ke Terminal Bersepadu Gombak (TBG), Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 04 MAC 2025

KUALA LUMPUR – Terminal Bersepadu Gombak (TBG) akan mula beroperasi secara berperingkat bermula 15 Mac ini, dengan fasa awal memberi tumpuan kepada penumpang dari Pantai Timur.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memaklumkan bahawa pada minggu pertama pembukaannya, terminal ini hanya akan digunakan untuk menurunkan penumpang dan operasi penuh dijangka bermula pada minggu kedua.

“Jika semuanya berjalan lancar, penumpang boleh mula menaiki bas dari terminal ini pada minggu kedua.

“Sasaran kami adalah memastikan TBG dapat digunakan sepenuhnya menjelang musim Hari Raya Aidilfitri bagi mengurangkan kesesakan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS),” katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja ke terminal itu, hari ini.

Suasana di dalam Terminal ketika Menteri Pengangkutan membuat lawatan kerja ke Terminal Bersepadu Gombak (TBG), Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 04 MAC 2025

Beliau berharap TBG akan menjadi pilihan utama pengguna kerana ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti pusat membeli-belah, restoran, serta dewan serbaguna yang boleh disewa untuk pelbagai acara.

Mengulas mengenai kemudahan yang disediakan golongan orang kurang upaya (OKU), Loke menjelaskan bahawa TBG menyediakan platform khas bagi memudahkan pergerakan mereka.

“Saya difahamkan terdapat satu ciri penting di TBG di mana penumpang yang merupakan OKU perlu menyatakan status mereka.

“Selepas itu, sistem tersebut akan mengenal pasti serta memaklumkan kepada pemandu supaya bas ditempatkan di lokasi mesra OKU,” katanya.

Dari segi keselamatan, Loke menegaskan bahawa semua aspek perlu disempurnakan sebelum terminal ini dibuka kepada orang ramai.

“Ini termasuk penyediaan kemudahan awam seperti tandas yang selamat digunakan.

“Setakat ini, tiket bas dari terminal tersebut masih belum dijual dan hanya akan dibuka selepas terminal beroperasi secara rasmi,”  tambahnya.

Suasana di dalam Terminal ketika Menteri Pengangkutan membuat lawatan kerja ke Terminal Bersepadu Gombak (TBG), Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 04 MAC 2025

TBG akan menjadi hab pengangkutan utama yang menghubungkan perkhidmatan bas, LRT, serta projek rel utama seperti East Coast Rail Link (ECRL) pada masa hadapan.

Ia akan memudahkan perjalanan penumpang dari Pantai Timur, khususnya dari negeri Pahang, Terengganu, dan Kelantan, ke ibu kota. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here